Seorang model berusia 27 tahun akan membawa bendera Arab Saudi ke pentas Miss Universe – buat pertama kali dalam sejarah negara Islam itu, lapor Khaleej Times.
Rumy Alqahtani, terkenal dalam pertandingan ratu cantik dan seorang pempengaruh dengan sejuta pengikut di Instagram, mengumumkan bahawa dia akan mewakili negara itu dalam salah satu pertandingan paling popular di dunia.
“Saya berbesar hati untuk menyertai pertandingan Miss Universe 2024. Ini adalah penampilan sulung Arab Saudi dalam pertandingan itu,” tulisnya dalam Bahasa Arab di Instagram seperti dilapor Agensi.
Dengan pengumuman itu, model itu berkongsi fotonya dalam mod ratu cantik penuh: Memakai gaun tanpa tali, berlabuci, tiara dan selempang – sambil memegang bendera Arab Saudi.
Dilahirkan di Riyadh, Alqahtani tidak asing lagi dalam dalam dunia pertandingan ratu cantik.
Dia menyertai pelbagai pertandingan global, dengan yang terbaru ialah Miss and Mrs Global Asian di Malaysia, beberapa minggu lalu.
Dia pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang pergigian. Sangat fasih berbahasa Inggeris, Perancis dan sudah tentunya Arab.
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Al Saud terus membuat beberapa revolusi di negaranya.
Sebelum ini Mohammed Salman berikrar mahu menjadikan Arab Saudi sebagai negara yang lebih terbuka dan bertekad mahu mengubah kehidupan sosial dan ekonomi negara itu.
Antara acara yang dianjurkan termasuk acara konsert, acara Riyadh Season, acara sukan yang boleh dihadiri oleh lelaki dan wanita.
Selain itu wanita boleh membuat pasport tanpa perlukan penjamin daripada ibu bapa atau penjaga.
Arab Saudi turut membida Piala Dunia 2034. Seperti yang dilaporkan, mereka memang seringkali tercabar dengan pencapaian jiran mereka.
Kejayaan Qatar menganjurkan Piala Dunia 2022 yang lalu membuatkan Arab Saudi lebih gigih mahu menjadi penganjur.
Arab Saudi juga menjadi tempat konsert artis antarabangsa termasuk BTS, Post Malone, dan Mariah Carey.
Media di Barat pula menuduh Arab Saudi membuka pintu kepada orang luar sebagai langkah untuk ‘menyucikan’ imej mereka yang calar kerana dikaitkan dengan kurang hak asasi kemanusiaan.
Baca juga: Masak lebih masa berbuka? Ini cara nak panaskan nasi sejuk