Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary menarik perhatian tetamu dan media semalam selepas secara terbuka mendedahkan ‘keakrabannya’ dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Syed Mokhtar sebelum ini ‘jarang’ bercakap secara terbuka mengenai hubungannya dengan ahli politik, walaupun beliau kerap dikaitkan dengan pemimpin tertentu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tokoh perniagaan itu tanpa berkias, menggelarkan Anwar dengan panggilan ‘abang’ dan berkongsi kisah ‘Untold Story’ berkait dirinya dengan Anwar.
Berkongsi kisah tersebut, Syed Mokhtar berkata beliau pertama kali bertemu dengan Anwar adalah pada 1984, yang mana ketika itu merupakan seorang Menteri Pertanian.
“Hari ini merupakan adalah hari istimewa buat saya … Ini pertama kali saya menyampaikan ucapan (berhubung Anwar) di khalayak ramai.
“Saya minta maaf jika anda bosan tetapi saya rasa penting untuk berkongsi mengenai ‘untold story’ ini.
“Hari ini, saya ingin menceritakan pengalaman yang belum pernah diceritakan mengenai ‘abang’, di mana kali pertama saya berjumpa dengan beliau yang membawa harapan serta impian tinggi.
“Beliau yang saya anggap sebagai pembaca, pemikir dan berfalsafah.
“Beliau tidak lain tidak bukan ialah tetamu yang hadir, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau sudah menjadi ‘abang’ kepada ahli perniagaan lain juga,” katanya dalam Majlis Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan? di Muzium Kesenian Islam Malaysia semalam.
Anwar pernah dituduh “hanya berani dengan Melayu” susulan tindakannya menegur Syed Mokhtar untuk memberi peruntukan RM60 juta kepada petani miskin selepas memperoleh untung bertahun-tahun.
Pembangkang mendakwa Anwar hanya berani menegur Melayu berbanding tokoh korporat terkaya di Malaysia yang lain kerana Syed Mokhtar adalah Melayu dan mudah dibuli.
Namun pendedahan Syed Mokhtar secara terbuka mengenai hubungannya dengan Anwar, menyangkal segala dakwaan dilempar selama ini.
Selain itu berkongsi lagi kisah keakrabannya, Syed Mokhtar berkata Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) telah membuka peluang kepada Bumiputera untuk mendapatkan sokongan melalui Dasar Ekonomi Baharu, ketika itu
Beliau yang juga antara individu terkaya di Malaysia menambah, Anwar sentiasa cuba untuk menyelesaikan masalah dan percaya kepada bakat yang ada kepada bumiputera.
“Saya dan Anwar mungkin mempunyai perbezaan tetapi masih wujud persamaan iaitu meminati perniagaan.
“Melalui perniagaan, kita mampu untuk melakukan amal dan membantu orang lain,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Anwar hadir merasmikan Pameran ‘Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan?’ di Muzium Kesenian Islam Malaysia di ibu negara, pada Jumaat.
Pameran itu melakar sejarah tersendiri di Asia apabila menampilkan pameran seni definitif dari era Orientalism dan dianjurkan sehingga 15 Oktober ini.
Baca juga: Netizen puas hati tengok “pak guard” kunci motosikal polis sebab parkir di petak OKU