Seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan maut selepas ditetak di halaman rumah yang terletak di kediaman pekerja Felda Sehabat 30, Lahad Datu, Sabah.
Dalam kejadian ngeri yang berlaku pada Sabtu lalu, mangsa berusia 11 tahun itu ditemui tidak bernyawa dengan kesan tetakan di kepala, leher dan juga tangan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Rohan Shah Ahmad memaklumkan bahawa insiden berdarah tersebut dipercayai berlaku ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah.
Difahamkan, ibu dan bapa tiri mangsa yang juga warga asing serta pekerja am ladang di Felda berkenaan keluar bekerja kira-kira pada pukul 7.30 pagi.
Kanak-kanak itu kemudian ditetak selepas ditinggalkan ibu bapanya bersama seorang suspek lelaki berusia 33 tahun iaitu rakan kepada bapa tiri mangsa sendiri.
Suspek yang merupakan warganegara Indonesia dikenali sebagai Paulus Poka Lolo itu kemudian menghilangkan diri selepas insiden tersebut berlaku, lapor Harian Metro.
“Terdapat kesan tetakan oleh objek tajam dipercayai parang pada bahagian belakang kepala, hadapan dan belakang leher serta tapak tangan kiri mangsa putus.
“Motif kejadian masih belum dikenal pasti. Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati,” katanya memetik Harian Metro.
Dalam perkembangan terbaharu, suspek yang turut bekerja sebagai pekerja am di Felda berkenaan berjaya ditahan oleh pihak polis selepas kira-kira 12 jam diburu.
Suspek akhirnya ditemui oleh sepasukan polis bantuan Felda di dalam kawasan blok 12 ladang FGV PM Sahabat 41 pada pukul 7 pagi semalam (24 September).
Menurut Rohan Shah, polis bantuan Felda yang mempertingkatkan rondaan di kawasan berkenaan susulan kejadian itu berlaku berhasil menemui suspek.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu kemudian membuat tangkapan semula suspek dan hasil soal siasat berjaya mendedahkan lokasi senjata yang digunakan untuk menetak mangsa.
Dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) IPD Lahad Datu, polis menemui dan merampas sebilah parang berukuran 0.5 meter di kawasan semak tepi jalan Ladang FGV PM Sahabat 41.
“Jarak dari lokasi kejadian ke lokasi tangkapan dianggarkan dua kilometer manakala jarak dari lokasi tangkapan ke lokasi senjata parang ditemui dalam anggaran 500 meter.
“Polis percaya dengan tertangkapnya suspek dan rampasan terhadap senjata yang digunakan, kes ini dianggap selesai.” Jelasnya.
Tambah Rohan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Lahad Datu pada pagi ini bagi permohonan reman untuk melengkapkan siasatan.
Baca juga: Merajuk gajet dirampas, dua beradik bawa kereta lebih 300km, pemandu umur 10 tahun