Budak 8 tahun hampir maut, rela digigit labah-labah kerana mahu jadi Spiderman

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang kanak-kanak terpaksa dikejarkan ke hospital selepas membiarkan tangannya digigit oleh labah-labah paling berbisa di dunia, Black Widow.

Terpengaruh dengan filem adiwira, kanak-kanak lelaki itu menyangka dirinya akan dikurniakan kuasa seperti Spiderman setelah digigit binatang berbisa tersebut.

Malangnya, kanak-kanak berkenaan malah mengalami gejala seperti sakit badan dan kekejangan otot yang sangat teruk selepas kejadian itu berlaku.

Difahamkan, kanak-kanak itu menjumpai labah-labah tersebut di bawah sebuah batu besar ketika bermain di sebatang sungai berhampiran rumah.

Tanpa menyedari bahawa bisa binatang tersebut sangat berbahaya, kanak-kanak itu meletakkan labah-labah berkenaan di belakang tapak tangannya.

Selepas membiarkan binatang tersebut menggigitnya, anak kecil yang berusia lapan tahun itu kemudian pulang ke rumah sebelum bisa itu mula menyerangnya.

Mencuba untuk menyembunyikan hal itu daripada ibu bapanya, kanak-kanak tersebut akhirnya membuka mulut selepas tiga jam menahan kesakitan.

Memetik laporan portal atas talian Mirror, kejadian mengerikan tersebut berlaku di perkampungan Vichuloma, dekat bandar Oruro, Bolivia.

Ibu bapa mangsa kemudian segera membawanya ke pusat kesihatan berdekatan sebelum dipindahkan ke Hospital Besar Juan de Dios di Oruro.

“Kanak-kanak itu, tanpa mengambil kira risiko, mengambil dan meletakkan labah-labah Black Widow di belakang tapak tangan.

“Ia meninggalkan kesan gigitan,” kata ketua Program Penyakit Zoonotik Perkhidmatan Kesihatan Jabatan Oruro, Ernesto Vásquez.

Selepas spesies labah-labah itu dikenal pasti, pakar perubatan segera memberikan antidot atau penawar untuk meneutralkan ketoksikan bisa tersebut.

Nasib masih menyebelahinya, keadaan kanak-kanak lelaki itu untungnya kembali menjadi stabil dalam tempoh 30 minit setelah menerima rawatan.

Baca juga: Suami terkejut dengan permintaan terakhir isteri, nak buat seks dengan bekas kekasih sebelum meninggal