Bukan had laju saja, tetapi jalan yang teruk punca utama kematian di jalan raya

Oleh BORHAN AHMAD

Punca kematian utama di jalan raya sekarang bukan sahaja pelanggaran had laju tetapi keadaan jalan yang tidak selamat menjadi punca utama kematian di jalan raya, kata bekas pengkaji.

Mohd Ikhmal

Seorang bekas penyelidik Malaysia Institute of Transport (UiTM), Mohd Ikhmal bin Mohd Iskandar berkata, pihak kerajaan sepatutnya mengutamakan Deklarasi Stockholm yang bertujuan untuk mengurangkan kematian jalan raya menjelang tahun 2030

Oleh itu, beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Negeri Perak berkata, kerajaan juga patut mengutamakan penambahbaikan dan penyelenggaraan jalan raya secara sempurna dan berkala tak kira di kampung, pekan mahupun bandar.

Pemuda AMANAH Negeri Perak melihat cadangan yang dibangkitkan oleh Menteri Pengangkutan berhubung pindaan had laju mengikut tempat dan zon adalah pengulangan kepada Perintah Had Laju Nasional yang telah ditetapkan sedari 1989 lagi.

“Malah sehingga kini banyak lagi jalan raya yang berlubang, tidak rata dan tidak diselenggara dengan sempurna yang menjadi punca kemalangan seraya mengakibatkan kematian,” kata beliau.

Justeru, katanya, Pemuda AMANAH Negeri Perak mendesak kerajaan supaya segala peruntukan samada daripada Marris, PBT dan PLB perlu disalurkan dengan tepat dan bijaksana bagi memastikan semua jalan raya tidak kira jalan persekutuan, jalan negeri, jalan taman dan jalan kampung berada dalam keadaan terbaik.

“Selain pematuhan kepada Had Laju Nasional yang ditetapkan, rakyat juga berhak untuk diberikan jalan raya sempurna tidak kira di mana mereka berada,” kata beliau.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datyuk Seri Wee Ka Siong berkata, cadangan had laju 30 km sejam (km/j) di zon terpilih di ibu negara dan 50 km/j bagi zon lain akan diteliti kesesuaian pelaksanaannya.