Bukan isu gaji, rupanya 2 lelaki dipukul sebab hantar video lucah

Oleh MAISARAH AISYA

Tular di media sosial mengenai video dua lelaki yang dipukul menggunakan cota dek kerana isu pembayaran gaji.

Namun hal tersebut dinafikan oleh pihak polis dan punca mereka dipukul adalah disebabkan kedua-dua mangsa menghantar video lucah kepada seorang wanita.

Menurut Harian Metro, kejadian tersebut yang tular sebenarnya adalah kes lama dan berlaku pada November tahun lalu serta hanya tular di sebuah portal baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada ketidakpuasan hati.

“Siasatan mendapati mangsa adalah dua warga asing berusia 31 dan 40 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta.

“Mangsa dipercayai menghantar video lucah kepada seorang wanita tempatan .

“Ini menyebabkan dua lelaki warga asing berusia 26 dan 27 tahun yang juga rakan sekerja mangsa bertindak sendiri dengan memukul mangsa kerana perbuatan tidak senonoh itu.

“Mangsa yang dibuang kerja didapati tidak membuat laporan polis dan sudah pulang ke negara asal,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Manakala dua suspek yang memukul dikatakan sudah melarikan diri selepas menyedari video tersebut tular.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Apatah lagi menularkan kes yang sudah lama berlaku hingga menyebabkan kerisauan kepada orang ramai.

Baca juga: Ini alasannya kenapa tiada pesawat yang berani melintasi ruang udara Kaabah