Keputusan muktamad pembahagian kerusi yang akan ditandingi MCA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diumum satu atau dua hari sebelum hari penamaan calon.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perbincangan mengenai hal itu kini masih dalam proses perbincangan dengan Barisan Nasional (BN).
Menteri Pengangkutan tersebut memberitahu perbincangan dilakukan secara musyawarah serta atas semangat perkongsian kuasa antara parti-parti komponen BN.
“Apa sahaja yang dibincangkan tidak boleh didedahkan dan apa yang belum dimuktamadkan tidak wajar dimaklumkan.
“Kita bukan nak tuntut kerusi melalui media, itu hanya perang mulut sahaja.
“Kita akan cari formula terbaik untuk semua pihak,” dipetik BH hari ini.

Terdahulu, BN dilapor akan mengumumkan senarai calonnya bagi PRN Johor dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon, 26 Februari ini.
Pengerusi BN Johor yang juga Pengerusi Umno negeri, Datuk Hasni Mohammad, berkata calon-calon yang akan ditampilkan, termasuk muka-muka baharu yang terdiri daripada profesional dan orang muda.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.