Ahli Parlimen Hulu Terengganu cadang rotan dikembalikan di sekolah

Oleh MAISARAH AISYA

Saban hari, kes buli terus kedengaran, namun malangnya ia hanya mendapat perhatian serius selepas wujud kecederaan fizikal.

Lebih membimbangkan, generasi pelajar hari ini seakan terlalu bebas melakukan apa sahaja tanpa memikirkan trauma dan kesan yang terpaksa ditanggung mangsa.

Menerusi persidangan Dewan Rakyat pada Rabu, Ahli Parlimen Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mencadangkan supaya hukuman rotan dikembalikan di sekolah.

Jelas Rosol, hukuman tersebut adalah atas tujuan mendidik dan mencegah buli, namun tidak boleh sehingga mencederakan lapor Kosmo! Online.

“Saya mencadangkan hukuman rotan kepada pelajar tak berdisiplin diperkenalkan semula. Masa kita sekolah dulu, rotan diadakan di sekolah.

“Tapi hari ini nampaknya kementerian (Kementerian Pendidikan) lebih utamakan ibu bapa. Hanya apabila ibu bapa buat aduan baru bertindak,” katanya alam persidangan Dewan Rakyat.

Tegasnya, filem berasaskan buli juga boleh menjadi penyebab masalah buli semakin bertambah.

“Pada pendapat saya, ia juga berkaitan dengan filem-filem disiarkan.

“Saya nampak cerita-cerita asas buli dan ‘ragging’ (penderaan) di asrama sedikit sebanyak mempengaruhi anak kita,” katanya.

Baca juga: Tular video 2 individu mesra dalam klinik, didakwa doktor sama dicekup dengan isteri orang