Pakatan Harapan berdepan dengan cabaran terbesar untuk menampilkan calon yang boleh diteladani oleh rakyat di Melaka, kata Pengerusi AMANAH Melaka, Adly Zahari.
Beliau berkata, penting untuk PH menonjolkan calon yang bukan sahaja mempunyai kecekapan menangani permasalahan rakyat, bahkan calon mestilah seorang yang bertanggungjawab dan telus dalam melakukan kerjanya.
“Menjadi nilai penting untuk pemimpin yang boleh diteladani oleh masyarakat secara keseluruhan.
“Pakej itu adalah satu cabaran besar kepada PH kerana kalau kita lihat berdasarkan kepada pengalaman kita, (kriteria) itu diambil kira dalam menentukan pakej kepimpinan terutama mereka yang bakal menjadi pemimpin yang harus diteladani oleh golongan muda.
“Sebab itu kriteria ini satu perkara yang penting. Saya fikir PH akan ambil pertimbangan besar sebelum kita membuat sebarang keputusan dalam menentukan sesuatu kepimpinan,” katanya dalam bual bicara ‘Krisis Melaka: Enau dalam Belukar’ di Facebook SumberKini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Adly menegaskan bahawa segala keputusan yang diambil oleh rakyat dalam menentukan kepimpinan yang mereka mahu, perlu dipertahankan.
Ini katanya merupakan kebimbangan utama rakyat yang khuatir terhadap amalan lompat parti yang akan menjejaskan kestabilan politik di negeri tersebut.
“Jadi, perlu ada kesedaran bahawa mandat yang telah diberikan oleh rakyat itu tidak boleh dirungkai oleh mana-mana institusi dan individu.
“Saya fikir ini yang menjadi kehendak dan kebimbangan rakyat. Hasil daripada mengkhianati mandat rakyat itu secara keseluruhan menyebabkan wujudnya ketidakstabilan politik dalam negara. Ketidakstabilan itulah yang cukup dibimbangi oleh rakyat kerana memberi kesan terus kepada kehidupan, kesihatan dan masa depan,” ujarnya.