Naib Bersatu Sarawak, Ali Biju yang turun sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian hari ini telah mengumumkan untuk menarik diri bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.
Justeru, katanya beliau akan memberi dukungan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik.
“Saya dengan ini rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon DUN N.39 Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik.
“Dan saya juga menyeru kepada seluruh pengundi di DUN N.39 Krian, DUN N.38 Kalaka, dan DUN N.40 Kabong yang kesemuanya di bawah Parlimen P.205 Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon GPS,” katanya menerusi kenyataan media di Kuching.
Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata beliau menginsafi keputusan untuk bertanding mempertahankan DUN Krian kerana hakikatnya ia akan menjejaskan hubungan baik antara Bersatu dan GPS).
“Saya telah mendapat nasihat dari pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati antara Perikatan Nasional dan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS.
“Oleh demikian, saya penuh yakin bahawa muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara Perikatan Nasional dan GPS,” jelasnya lagi.
Semasa hari penamaan calon bagi PRN12 Isnin lepas, Ali telah memaklumkan beliau menawarkan diri bertanding di kerusi DUN Krian sebagai calon Bebas setelah mengambil kira pandangan dan desakan pimpinan masyarakat serta pengundi agar mempertahankan kerusi yang disandangnya itu selama dua penggal.
Pada PRN11 (2016), beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Kilat Beriak dengan majoriti 1,640 undi.