Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukurnya apabila meraih sokongan tertinggi dalam kajian Merdeka Center yang meletakkan beliau sebagai pemimpin politik paling disenangi di negara ini.
Namun Anwar yang juga Menteri Kewangan itu menekankan bahawa pencapaian sedemikian tidak seharusnya membuatkan seseorang pemimpin menjadi leka sebaliknya terus bekerja keras demi kesejahteraan rakyat.
Pengiktifan berkenaan turut dijadikan beliau sebagai pemangkin untuk terus memperbaiki prestasi selari dengan semangat ‘islah ma istata’tu’ atau melakukan pembaikan sedaya upaya yang termampu.
Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas dapatan kajian Mereka Center dalam satu sidang akhbar selepas menunaikan Solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jameatus Solehah Pekan Dengkil, Selangor, lapor Utusan Malaysia.
“Sebaliknya, ia perlu dijadikan pemangkin untuk terus memperbaiki prestasi dan bekerja lebih keras demi rakyat. Alhamdulillah, saya dengar cerita-cerita begitu, Alhamdulillah.
“Tetapi saya sentiasa sebut dalam semangat islah ma istata’tu iaitu kita berusaha sedaya upaya untuk terus meningkatkan prestasi. Kita sentiasa cuba lakukan yang sebaiknya.
“Kerja lebih kuat dan jangan kadang-kadang terkulai dengan pujian-pujian ini,” kata pemimpin nombor satu negara itu berhubung pencapaian tersebut memetik laporan Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tambun itu merekodkan penarafan positif apabila meraih sokongan tertinggi iaitu sebanyak 52 peratus daripada majoriti pengundi Malaysia berbanding pemimpin politik lain dalam kajian Merdeka Center.
Tinjauan yang dilakukan antara 12 Mac hingga 9 April tahun ini mendapati sekitar 42 peratus pengundi percaya bahawa Malaysia berada di landasan yang betul walaupun berdepan pelbagai cabaran terutamanya ketidaktentuan global.
Baca juga: Kedudukan Malaysia kukuh! Berada di tangga ke-12 dalam Indeks Keamanan Global 2026