Penyanyi rap, Caprice kembali menggemparkan platform media sosial apabila membuat pendedahan mengejutkan mengenai pempengaruh dikenali sebagai CEO Batu yang didakwa telah menghantar gambar tidak senonoh kepada remaja bawah umur.
Caprice yang juga bergelar aktivis itu turut memuat naik bukti untuk menyokong dakwaannya menerusi beberapa siri hantaran di akaun Instagram miliknya dalam bentuk tangkap layar perbualan membabitkan individu didakwa CEO batu dengan seorang remaja perempuan 14 tahun.
Berdasarkan tangkap layar tersebut, dapat dilihat bahawa remaja berkenaan mula menghubungi CEO Batu pada 14 November tahun lalu menerusi pesanan secara terus (DM) di platform TikTok yang mana mangsa menyatakan keinginannya untuk menghasilkan kandungan bersama.
Pesanan berkenaan kemudian dibalas pemilik akaun CEO Batu dengan bertanyakan lokasi tempat tinggal mangsa sebelum meminta nombor telefon remaja perempuan itu dipercayai untuk meneruskan perbualan mereka di aplikasi Whatsapp.
Selepas ‘berpindah’ ke aplikasi Whatsapp, individu yang didakwa CEO Batu itu kemudian bertindak menghantar gambar tidak senonoh iaitu anggota badan bahagian perut ke bawah konon untuk menunjukkan parut pembedahan appendicitis (apendiks).
“Kasi angkut (Sila tahan) Polis Diraja Malaysia. Sampai bila kita nak biarkan kes-kes macam ini (berleluasa)?. Sampai anak orang pun tak selamat,” tulis Caprice ataupun nama sebenarnya, Ariz Ramli dalam ruangan kapsyen hantaran itu.

Dalam perkongsian seterusnya, Caprice turut memuat naik tangkap layar perbualan antara CEO Batu bersama ibu mangsa yang mana pempengaruh terbabit merayu supaya kejadian tersebut tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana ia berlaku secara ‘tidak sengaja’.
CEO Batu dalam perbualan tersebut mengaku terlepas pandang dengan menghantar gambar tidak disunting kepada remaja berkenaan sedangkan foto itu konon diambil dengan tujuan untuk dihantarkan kepada teman wanitanya.
“Saya tengah kalut nak rakam video tapak perkhemahan. Kalau disabit kesalahan, 10 tahun saya ke dalam (penjara). Segala usaha saya selama ini, semuanya akan hilang Kak. Saya masih ada orang tua untuk diberi nafkah. Kalau Kak nak saya sujud pun saya sanggup Kak.” Mohon CEO Batu.
Difahamkan setakat ini, pempengaruh berkenaan belum mengeluarkan kenyataan untuk mengesahkan mahupun menafikan dakwaan Caprice mengenai perbuatan yang didakwa dilakukannya itu.
Baca juga: Masuk dalam bilik temu duga pun bawa mak, generasi sekarang tak ada ‘common sense’