Caprice dedah perbuatan jijik duda pada anak perempuan, harap pihak berkuasa bertindak segera

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi rap yang juga aktivis sosial iaitu Caprice kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas membuat pendedahan mengenai perbuatan jijik seorang lelaki bergelar bapa terhadap anaknya sendiri.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkongsikan tangkap layar memaparkan perbualan lelaki berstatus duda terbabit bersama seorang wanita.

Dalam perbualan dilakukan di aplikasi Whatsapp itu, duda terbabit mengakui sering mandi bersama anak-anaknya yang sedang membesar namun dipercayai masih lagi di bawah umur dalam keadaan tanpa seurat benang.

Namun perkara yang lebih mengejutkan adalah lelaki itu juga tanpa segan silu mengaku bahawa dirinya pernah melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap anak perempuannya sendiri.

Pengakuan tersebut mendorong wanita berkenaan untuk mengadu kepada Caprice dan menghantar tangkap layar itu sebagai bukti agar tindakan selanjutnya dapat diambil terhadap kenalannya.

Bukti tersebut kemudian dimuat naik oleh Caprice di media sosial dengan harapan pihak bertanggungjawab dapat bertindak dengan segera untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan daripada bapa durjana itu.

“Duda dari neraka. (Untuk perhatian) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

“Kalau betul dia buat macam itu dekat anaknya, wajiblah kanak kanak terbabit perlu diselamatkan. Pada Caprice, anak itu juga perlu diselamatkan jika dia hanya berniat nak hantar mesej lucah. Bapa mana boleh FIKIR sampai ke sana? Gila,” kesalnya.

Difahamkan, segalanya bermula daripada ajakan duda itu agar wanita terbabit berkunjung ke Sabah untuk ‘berparti’ bersama anak-anaknya tanpa seurat benang di pusat penginapan berkonsepkan privasi.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna menyelar tindakan bapa terbabit dan berharap supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan menyelamatkan anak-anaknya.

Ramai juga pengguna berkongsikan pandangan bahawa jenayah pedofilia terutamanya melibatkan ahli keluarga sendiri sememangnya berleluasa di negara ini namun sayangnya kesedaran masyarakat berhubung perkata itu masih rendah.

Berikut adalah antara komen ditinggalkan pengguna Instagram dalam perkongsian dimuat naik oleh Caprice.

Baca juga: Cuti umum pun kerja, Datuk Bandar PJ turunkan sendiri papan iklan haram