Cerai bekas pengkid selepas 2 minggu nikah, suami nafi mahu kembali jadi mak nyah

Oleh WAN SITI AMINAH

Rumah tangga yang dibina oleh pasangan bekas mak nyah dan pengkid dilaporkan runtuh selepas dua minggu melayari bahtera perkahwinan.

Keretakan perkahwinan pasangan itu mula dihidu netizen selepas bekas mak nyah yang dikenali sebagai Danny itu membuat satu hantaran TikTok.

Memuat naik video yang memaparkan gambar kenangan bersama isterinya, Yan, Danny turut menulis kapsyen dan juga emoji sedih.

Turut memadam semua video yang menampilkan wajah isteri, tindakan Danny itu telah mengundang spekulasi mengenai punca sebenar penceraiannya.

Mengesahkan khabar perpisahan, Danny bagaimanapun menafikan segala dakwaan bahawa dirinya bercerai kerana mahu kembali menjadi mak nyah.

Tidak mendedahkan punca keretakan rumah tangga, lelaki yang berusia 40 tahun itu mahu melanjutkan kehidupan dan enggan mengaibkan mana-mana pihak.

Akan terus menjalani hidup sebagai seorang lelaki tulen, Danny yang berharap akan bertemu jodoh itu tidak mahu terburu-buru untuk berkahwin semula.

“Buat masa sekarang, saya akan teruskan kehidupan sebagai seorang lelaki. Mana tahu selepas ini bertemu jodoh dengan wanita lain.

“Cuma saya mahu mengenali betul-betul hati budinya. Tidak mahu terlalu terburu-buru kerana mahu belajar daripada kesilapan.

“Saya tidak menolak jika ada jodoh dengan wanita lain atau kembali bersama Yan (isteri). Dia pernah jadi orang yang saya sayang,” katanya memetik Mstar.

Terdahulu, kisah percintaan antara bekas mak nyah dan pengkid itu menjadi perhatian ramai setelah tular di media sosial TikTok.

Mula merancang perkahwinan setelah lima hari berkenalan, pasangan tersebut sah diijabkabulkan pada 15 Julai lalu di Ulu Remis, Kluang, Johor.

Hanya sempat bertahan selama dua minggu, Danny melafazkan cerai talak satu kepada isterinya yang berusia 22 tahun itu pada 30 Julai lalu.

Melafazkan talak menerusi pesanan mesej di aplikasi WhatsApp, pemilik salun rambut itu akan mendaftarkan kes permohonan cerai pada Isnin ini.

Pendaftaran tersebut akan dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Baca juga: Wanita kantoi bersuami 4, selamba kahwin cerai tanpa disahkan mahkamah