Chazynash dakwa Fatin Morat tamak, peguam syarie tegaskan isteri berhak tuntut muta’ah dan harta sepencarian

Oleh MALAYSIADATELINE

Tindakan pempengaruh dikenali sebagai Chazynash yang mengeluarkan kenyataan untuk menarik semula muta’ah diberi kepada bekas isteri, Fatin Morat telah mengundang perbincangan hangat di media sosial baru-baru ini.

Mana tidaknya, pempengaruh itu mendakwa keputusan tersebut dibuat selepas Fatin dikatakan telah melanggar perjanjian yang dibuat oleh mereka sebelum ini dengan menuntut harta sepencarian selepas bercerai.

Sedangkan antara syarat utama perjanjian mereka adalah Fatin Morat tidak boleh mengganggu kehidupannya dan menuntut sebarang harta sepencarian selepas menerima mutaah yang dikatakan bernilai RM100,000 itu.

Kenyataan tersebut bukan sahaja menimbulkan perasaan amarah orang ramai malah turut menarik perhatian seorang peguam syarie untuk mengulas isu itu dari segi perundangan menerusi perkongsian di media sosial.

Peguam dikenali sebagai Saidah Zakaria itu menjelaskan bahawa muta’ah serta harta sepencarian adalah hak isteri selepas bercerai dan mereka berhak membuat tuntutan meskipun ada perjanjian dilakukan di luar mahkamah.

“Muta’ah lain, harta sepencarian itu lain. Walaupun bekas isteri sudah dibayar muta’ah, mereka tetap masih berhak ke atas Harta Sepencarian. Tidak boleh dianggap sebagai tamak sebab keduanya itu merupakan hak isteri selepas diceraikan.

“Walaupun isteri ada menyatakan beliau setuju dengan pemberian muta’ah dan tidak akan menuntut harta sepencarian. Kalau persetujuan isteri itu tak direkodkan di mahkamah, dia masih layak dan berhak ke atas harta sepencarian selepas memfailkan tuntutan,” katanya.

Penjelasan dibuat Saidah di platform Threads sebagai maklum balas kepada hantaran Chazynash atau nama sebenarnya, Syed Fernarsh Syed Badlishah yang menyifatkan tindakan menuntut harta sepencarian sebagai tamak.

Sekadar info, Chazynash dan Fatin Morat mendirikan rumah tangga pada tahun 2014 dan dikurniakan dengan kehadiran tiga cahaya mata perempuan sebelum mereka memutuskan untuk berpisah pada 23 Januari 2025.

Pempengaruh terbabit kembali mengejutkan ramai pihak dengan penularan gambar pernikahannya bersama wanita pilihannya yang dikenali sebagai Sity Rosli pada 8 Januari lalu sekali gus menamatkan zaman dudanya.

Baca juga: ‘Tak sempat tengok langit’ – Fatin Morat syukur rezeki melimpah, dedah order masuk tak putus