Personaliti media sosial yang dikenali sebagai Cik B berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas meluahkan kekecewaan kerana tidak mendapat duit raya.
Anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Vida itu turut mengakui kekayaan dimiliki keluarga mungkin menjadi punca saudaranya enggan memberi duit raya kepadanya.
Menurutnya, dirinya masih mempunyai keinginan untuk menerima sampul duit raya meskipun isinya tidak mencecah ratusan ringgit berikutan umurnya masih lagi muda.
Pemilik nama sebenar Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin itu juga mahu merasai kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan menerima sampul berisi duit raya.
Mengundang perbincangan hangat, perkara tersebut disampaikan oleh Cik B dalam satu hantaran tular yang telah dimuat naik di akaun media sosial TikTok miliknya.
Difahamkan, luahan tersebut dikongsi di laman TikTok setelah gadis berusia 19 tahun itu menerima banyak komen dari pengguna platform tersebut meminta duit raya daripadanya.
“Kamu semua berhentilah meminta duit raya daripada Cik B. Tahu tak, tahun ini Cik B hanya menerima duit raya daripada tiga orang sahaja. Mak cik dan pak cik tak beri duit raya kepada Cik B.
“Sebabnya mereka kata rasa ‘insecure’. Padahal kalau berikan satu ringgit pun Cik B terima. Beri sampul sahaja pun boleh. Tetapi kenapa tiada orang nak beri duit raya, Cik B muda lagi.
“Nak rasa juga perasaan salam orang, selepas itu dapat sampul raya. Bukan orang yang salam Cik B pula dapat sampul raya. Kita nak rasa jadi budak,” luah gadis tersebut.
Tinjauan di ruangan komen mendapati, rata-rata pengguna media sosial memahami keadaan gadis itu yang masih teringin mendapatkan duit raya meskipun terlahir dalam keluarga senang.
Ramai juga individu berseloroh menjemput personaliti terbabit untuk beraya di kampung mereka atau minta diberikan nombor akaun akaun bank sekiranya mahu menerima duit raya.
“Betul jugakan, dia masih budak. Itulah risiko jadi orang kaya. Tetapi kalau berfikiran terbuka, sebenarnya nikmat (duit raya) terletak di sampul itu,” kata seorang pengguna.
“Mari Kelate (Kelantan) Cik B kalau nak duit raya gak.” Seloroh pengguna lain cuba menghiburkan gadis yang menjalankan perniagaan kerepek kulit ikan salmon itu.