Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei kebiasannya disambut dengan pelbagai jenis program di sekolah dengan tujuan untuk menghargai warga pendidik seperti persembahan menghiburkan atau pemberian hadiah daripada murid.
Antara hadiah sering menjadi pilihan murid adalah seperti buku, pen ataupun bunga namun lain pula untuk seorang pelajar Tahun 5 ini yang membeli set pinggan mangkuk daripada satu jenama mewah buat gurunya.
Perkara itu dikongsikan menerusi satu perkongsian video yang dimuat naik di platform media sosial TikTok melalui akaun Nurashikin Din dipercayai milik ibu kepada murid berkenaan.
Berdasarkan rakaman berdurasi yang satu minit itu, dapat dilihat kanak-kanak berusia 11 tahun itu masuk ke dalam premis menjual pinggan mangkuk dan pelbagai kelengkapan dapur bersama lelaki dewasa dipercayai bapanya.
Pekerja premis tersebut kemudian menyediakan sekitar 10 beg kertas yang telah diletakkan dengan hadiah dipilih oleh murid berkenaan di dalamnya sebelum dihiaskan dengan riben.
“Ada yang tunggu hadiah Hari Guru versi 2025 ke? Hadiah Hari Guru 2025 dari Hafiz Harith (nama murid berkenaan) untuk semua cikgu-cikgunya. Ucapan terima kasih khusus kepada buat pekerja premis.
“Kerana sudi layan kami membeli dan bungkuskan cantik-cantik hadiah untuk guru anak saya. Siap letak riben,” kata pemilik akaun itu menerusi ruangan kapsyen hantaran video tersebut.
Difahamkan, pemilik akaun TikTok tersebut pernah tular tahun lalu kerana berkongsi video memaparkan anaknya yang merupakan murid Tahun 1 menghadiahkan barang kemas sempena Hari Guru kepada 10 orang cikgunya.
Namun mereka memutuskan untuk membuat kelainan pada sambutan Hari Guru tahun ini dengan memberikan hadiah set pinggan mangkuk berikutan sudah ramai ibu bapa lain membeli barang kemas.
“Itu hadiah tahun lepas. Tahun ini sudah ramai belikan Habib Jewels untuk cikgu. Jadi kami beralih ke pinggan mangkuk pula.” Ujar pemilik akaun itu memberi respon di ruangan komen berhubung hadiah Hari Guru anaknya.
Baca juga: Mat Saleh terharu lihat cara kru KLIA kendali bagasi penumpang dengan cermat