Pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Cikgu Zack Kirana sering menjadi tumpuan kerana teguran santai tetapi tajam tentang penggunaan tatabahasa yang betul.
Menurutnya, dalam majlis-majlis anugerah yang diadakan di negara ini, masih ramai penyampai yang tidak menyedari kesilapan dalam penggunaan kata pemeri, sedangkan ia wajar dibetulkan demi menjaga mutu bahasa.
Menerusi satu video di TikTok, Cikgu Zack berkongsi ilmu berguna mengenai cara penggunaan kata pemeri yang tepat, sambil memberi contoh daripada ucapan sebenar penyampai anugerah.
“Sedikit ilmu kepada penyampai-penyampai anugerah bukannya ‘pemenangnya adalah’ tapi ‘pemenangnya ialah’.
“Kan kita nak sebut nama pemenang tu orang. Orang kan kata nama. Jadi, ‘Pemenangnya ialah’. ‘Calon-calonnya ialah’.
“Jadi kata pemeri yang betul itu ‘ialah’ dan bukan ‘adalah’,” ujarnya dalam video dikongsi di TikTok.
Selorohnya, pengunaan kata yang salah walaupun dilihat kecil ini mungkin menjadi antara punca cikgu mengajar subjek Bahasa Melayu (BM) pendek umur.
“Jangan jadi asbab cikgu BM banyak yang pendek umur sekarang ini. Kita dengar-dengar sahaja pun, kita tutup televisyen itu sebab kita stres,” ujarnya dalam nada berseloroh.
Rata-rata netizen bersetuju dengan Cikgu Zack bahawa setiap kesalahan kecil itu perlu diperbetulkan agar ia tidak berulang lagi.
“Dewan Bahasa dan Pustaka wajib audit skrip untuk semua majlis anugerah yang ditayang di televisyen.
“Ibu saya cikgu BM selalu marah kalau penyampai TV salah pakai ayat. Contohnya ‘pemenangnya jatuh kepada’.
“Terima kasih Cikgu, wakilkan kami cikgu-cikgu BM yang hampir pendek umur,” antara komen netizen.
Baca juga: Pengguna Facebook dipanggil SKMM sebar berita tidak benar kes Zara Qairina