Covid-19 telan lagi 92 nyawa semalam

Oleh ARIF ATAN

Sejumlah 92 kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam menjadikan jumlah kumulatif kematian kini mencecah 28,492.

Daripada kematian baharu itu, 12 peratus atau 11 korban meninggal dunia sebelum mereka menerima rawatan di hospital.

Johor mencatatkan jumlah kematian baharu tertinggi iaitu 20 kes iaitu 21.7 peratus daripada jumlah kematian semalam.

Kes kematian selebihnya di Pulau Pinang (14), Sarawak (14), Kelantan (12), Perak (8), Sabah (8), Selangor (4), Negeri Sembilan (3), Kuala Lumpur (3), Kedah (2), Melaka (2) dan Terengganu (2).

Tiada kematian baharu dilaporkan di Pahang, Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 78 daripada 92 kematian yang dilaporkan atau 84.8 peratus berlaku dalam tujuh hari terakhir.

Baki kematian berlaku lebih seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata 111 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam tempoh 30 hari lalu berbanding purata tujuh hari sebanyak 71, menunjukkan trend penurunan.