Dah sebulan tak jumpa Puteri Sarah, Yusof Haslam minta bekas menantu henti buat perkara ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Walaupun sudah bercerai, penerbit dan pelakon veteran, Datuk Yusof Haslam sentiasa menitipkan doa yang terbaik buat bekas menantunya, Puteri Sarah Liyana.

Yusof mengaku bahawa dirinya sedia maklum mengenai isu yang menerpa Puteri Sarah bersama bekas kakak ipar Ira Kazar, Wiwie Darvienda Mazweena.

Namun, penerbit itu mengambil pendekatan untuk tidak memberikan sebarang komen terperinci setelah berbincang dengan isterinya, Datin Patimah Ismail.

Pemilik syarikat penerbitan, Skop Production itu bagaimanapun menasihati Puteri Sarah untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit.

Memetik laporan Harian Metro, Yusof Haslam berharap bekas menantunya itu dapat menyelesaikan masalah dengan cara baik dan tidak membiarkan ia berlarutan.

“Saya bincang dengan isteri saya dan dia nasihatkan supaya jangan komen apa-apa. Benda dah berlarutan. Biar dan serah kepada Sarah. Saya doakan yang terbaik. 

“Kalau boleh, elaklah saman menyaman ini kerana tak ke mana pun saman menyaman ini. Tak manis untuk saya komen lebih-lebih sangat. 

“Saya doakan yang terbaik untuk semua, termasuklah Syamsul dan cucu-cucu saya,” kata penerbit yang berusia 69 tahun itu memetik Harian Metro.

Mengulas lanjut, Yusof mengakui dia dan isteri masih menghubungi Puteri Sarah melalui aplikasi Whatsapp walaupun sudah sebulan tidak bersua muka.

Oleh kerana bekas menantunya itu turut terkena kecaman dan kutukan, Yusof sentiasa mengirimkan pesanan agar Puteri Sarah terus bersabar.

“Kita tak boleh nak mengelak kecaman atau kutukan. Ahli politik pun kena kutuk dalam zaman sekarang. Cumanya, jangan dilayan untuk elakkan ia berpanjangan.

“Biar Allah menentukan takdir kita. Kalau takdir baik, Alhamdulillah baik. Bagi saya, biar semuanya selesai secara baik dan takdir menentukan segalanya,” katanya.

Yusof juga sempat meluahkan rasa syukur kerana perpisahan antara anaknya, Syamsul Yusof dengan Puteri Sarah berjalan secara baik pada 14 Jun lalu.

Terdahulu, Puteri Sarah mendedahkan bahawa ‘pihak sana’ masih menganggu ketenteraman hidupnya dengan menjaja isu perceraiannya dengan Syamsul.

Puteri Sarah juga bertegas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut iaitu bekas kakak ipar Ira Kazar, Wiwie Darvienda Mazweena.

Baca juga: Tetap berusaha lari walaupun bertongkat, ramai sebak lihat cikgu bagi semangat hingga ke garisan penamat