Dakwa PN sudah goyang, Armada Selangor balas semula serangan BN

Oleh KIM SYAZIE

Exco Armada Selangor, Khidir Jamil membalas balik tuduhan dilemparkan Ketua Penerangan BN, Isham Jalil yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) sudah goyang dan tidak pasti mahu menggunakan lambang apa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Khidir berkata, mustahil PN masih mampu menjalankan pelbagai program kemasyarakatan atas nama yang sama jika mereka takut membawa logo PN.

Malah katanya, kenyataan Isham terhadap Bersatu adalah tidak berasas apatah lagi menuduh parti itu membawa agenda perpecahan undi Melayu.

“Umno sudah hilang kemudi dan arah tujuan apabila sering bertukar kenyataan dan menuding jari di atas perpecahan pengundi di Melaka.

“Jika kita takut bawa logo PN mustahil kita masih mampu menghidupkan pelbagai program kemasyarakatan atas nama yang sama, malah bendera PN megah terpacak di setiap sudut negeri Melaka.

“Janganlah menuding jari Bersatu sebagai sebab pecah undi Melayu pula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyindir Umno dan berkata, masih layakkan Umno menerima undi daripada Melayu kerana mereka punca berlakunya PRN Melaka ini.

“Maka siapa punca undi Melayu pecah sebenarnya,” soal Khidir.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PN di Melaka, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan belum memutuskan mengenai logo yang akan digunakan bagi menghadapi pilihan raya itu bermula 8 hingga 20 November ini.

Justeru itu, Isham yang juga bekas pegawai khas kepada Najib Razak mengkritik tindakan berkenaan dan menganggap PN sudah goyang dan tidak pasti untuk menggunakan lambang apa dalam PRN Melaka November ini.

Isham menyifatkan, jika PN menggunakan logo Pas, besar kemungkinan orang bukan Melayu tidak akan mengundi mereka.

Dan jika mereka menggunakan lambang PN pula, gabungan itu akan kehilangan undi Melayu Pas.