Memastikan bekalan makanan rakyat terjamin, membuka ruang seluasnya untuk mendengar aduan masyarakat, dan menggilap bakat anak muda berpotensi, merupakan fokus yang akan diutamakan oleh calon muda berusia 25 tahun yang dipertandingkan Pakatan Harapan.
Selain Farzana Haryani yang semakin dikenali sebagai calon termuda, PH juga menampilkan seorang lagi calon muda iaitu Muhamad Danish Zainudin yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
Menerusi sidang medianya secara atas talian hari ini, Muhamad Danish berkata, sekiranya dipilih, beliau akan mewujudkan sebuah program kebun komuniti atau ‘food bank’ bagi membantu golongan yang memerlukan.

Menerusi program kebun komuniti itu jelasnya, rakyat yang memerlukan boleh mengambil bekalan makanan seperti sayur-sayuran di sebuah tempat khas yang akan dibangunkan kelak.
“Sejak kita menjalankan kerja dan khidmat di DUN Pengkalan Batu, kita telah melihat kebanyakan rakyat dan masyarakat di sini dan isu terpenting adalah isu kemiskinan dan terputus bekalan makanan.
“Sekiranya diberi mandat oleh pengundi, kita akan menjalankan program kebun komuniti dan akan menggunakan konsep mencari sebuah tempat untuk menanam tanaman yang memberikan hasil dengan cepat seperti tanaman cili dan bendi, konsepnya adalah apabila ia telah mudah tumbuh, rakyat boleh memetik sendiri hasilnya,” katanya.
Selain itu, Muhamad Danish menambah, pihaknya juga akan mewujudkan ‘Hari Bertemu Rakyat’ secara mingguan bagi memberi ruang rakyat membawa isu-isu setempat yang penting.
Usaha itu kata beliau, diinspirasikan daripada gerak kerja penyandang ADUN Duyong, Damian Yeo Shen Li yang menjalankan program serupa sebelum ini.
“Program ini memberi ruang kepada rakyat dan pengundi DUN Pengkalan Batu untuk berjumpa dengan wakil rakyat mereka dan membawa isu-isu penting atau sebarang masalah dalam komuniti mereka, ia beri ruang untuk lebih dekat dengan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Danish yang juga calon termuda DAP berkata, beliau turut merencanakan ‘Program Adik Angkat’ khas untuk anak-anak muda di kawasan Pengkalan Batu.

Jelas beliau. program itu adalah untuk beri fokus kepada usaha menggilap anak-anak muda atau pelajar sekolah yang berpotensi
“Kita mahu pastikan kesinambungan anak-anak muda di Pengkalan Batu, sebab tu program ini kita mahu gilap orang-orang muda di DUN Pengkalan Batu.
“Kita hendak pastikan anak muda ada platform dan dapat membalas semula jasa ibu bapa mereka,” katanya lagi.