Seorang mekanik dikenali sebagai ‘minyak hitam jalanan’ mencuri perhatian ramai selepas berkongsi kisah menyentuh hati melibatkan seorang lelaki berbangsa Cina yang sebelum ini pernah dibantunya.
Menurut perkongsian di media sosial oleh pengguna minyakhitamjalanan, lelaki yang dibantunya menghubungi dirinya untuk bertemu selepas berjaya mengumpul kira-kira RM5,000 menerusi hadiah (gift) di TikTok.
Dalam perbualan itu, Dicky berkenaan bertegas mahu menyerahkan sebahagian wang tersebut berjumlah RM3,000 sebagai tanda menunaikan janji yang dibuat dalam siaran langsungnya kepada Mohd Yusof Mohamed Noor (abang Usop).
“Saya nak jumpa abang petang ini. Saya dah janji dalam TikTok, duit gift ini saya nak bagi dekat abang untuk bantu orang lain pula,” katanya.
Namun begitu, Abang Usop (mekanik) pada awalnya menolak pemberian tersebut dan meminta agar wang itu digunakan untuk keperluan keluarga, khususnya pendidikan anak lelaki berkenaan.
“Saya tak nak duit itu, orang bagi untuk awak. Gunakan untuk anak awak sahaja,” balasnya.
Walaupun begitu, lelaki tersebut tetap berkeras untuk menyerahkan RM3,000 kepada Abang Usop, manakala baki selebihnya akan dihantar pulang ke kampung untuk kegunaan anaknya yang bakal bersekolah.
Akhirnya, selepas mendapatkan pandangan isterinya, Abang Usop bersetuju menerima wang tersebut dengan niat untuk menyalurkannya semula Dicky bagi memudahkan urusannya.
Dalam penjelasannya, Abang Usop menegaskan bahawa beliau hanya menjalankan amanah dan tidak mahu timbul salah faham berkaitan penggunaan dana sumbangan.
“Saya cuma jalankan amanah orang yang beri sumbangan. Saya tak nak orang salah sangka sebab duit infaq ini bukan boleh dibuat main,” katanya.
Dia turut mengingatkan bahawa wang sumbangan boleh menjadi ujian jika tidak diurus dengan betul, selain memilih untuk tidak menyimpan jumlah yang besar bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-rata tersentuh dengan keikhlasan kedua-dua individu itu.
Selain menyifatkannya sebagai contoh nilai kemanusiaan dan kepercayaan yang semakin jarang dilihat masa kini.
“Semoga RM3,000 yang abang ni infak akan ada RM300,000,000 masuk dalam akaun bank abang minyak hitam jalanan amiinn.
“Dua-dua orang baik, abang Usop dan Dicky bertemu semuanya ketentuan Tuhan, semuanya sudah tertulis. Semoga abang Usop dan Dicky terus jadi orang baik baik ya.
“Baru nak sedih tapi masa yang sama tergelak sebab abang cina tu terkejut macam kena tangkap buat salah. Abang usop ni bebetul ikhlas, tengok pandangan mata dia pun tahu.
“Memula air mata jantan saya dah menitik dah bang. Tapi bila Dicky tu react dapat duit tu balik macam dia buat salah, saya ketawa kecil bang. Semoga abang murah rezeki selalu ye,” antara komen netizen.