Sejak mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak dua tahun lalu, bekas pemain profesional, Safee Sali langsung tidak menyangka dia akan dilamar stesen radio popular dan menjadi penyampai radio.
Mengimbas kembali sewaktu awal mengendalikan segmen Super Safee ERA di Era FM, Safee mengalami kejutan budaya kerana perlu menyesuaikan diri dengan dunia hiburan.
Walau segmen yang dikendalikannya hanya pada hujung minggu, namun ia agak mencabar sisi ‘introvert’ Safee yang ramai tidak tahu.
“Transisi dari dunia bola sepak ke bidang penyampaian radio memang susah sebab kedua-duanya cabang berbeza.
“Saya tak pernah terfikir dalam menjadi penyampai radio, apatah lagi, saya seorang ‘introvert’. Tapi, saya cabar dan paksa diri ketika menerima lamaran Era FM.
“Saya ingin membuka mata atlet lain, selain sukan banyak lagi bidang lain boleh diterokai dan bukan selama-lamanya kena jadi atlet,” katanya memetik BH Online baru-baru ini.
Safee juga menyatakan rasa syukur kerana rezeki datang kepadanya sehari selepas pengumuman persaraan dilakukan.
Ujarnya lagi, jika tiada lagi peluang dalam bidang sukan, banyak lagi peluang lain menanti, tetapi harus berani mencuba kerana dia sendiri sudah membuktikannya.
Selain itu, kata Safee, amat penting untuk ahli sukan mempunyai perancangan masa depan kerana kerjaya dalam bidang sukan tidak bertahan lama.
“Bagi saya, perancangan masa depan perlu ada supaya tidak berada di tahap sama.
“Sentiasa percaya ada peluang lain dan tidak semestinya dalam bidang sukan,” katanya.
Baca juga: Teruk dikecam sebab watak Iman, Rosyam Nor anggap lakonan berjaya