Dataran Merdeka Dipenuhi Sampah Sarap Selepas Tayangan Perlawanan Akhir Piala Dunia – DBKL

Oleh BERNAMA

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalankan kerja-kerja pembersihan di Dataran Merdeka yang dipenuhi sampah sarap selepas ribuan penyokong berhimpun menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 awal pagi tadi.

DBKL dalam satu hantaran di Facebook hari ini memaklumkan petugas pembersihan akan menjalankan kerja mengutip sampah di kawasan berkenaan, namun menegaskan kebersihan ibu negara tidak seharusnya bergantung kepada usaha petugas selepas orang ramai meninggalkan lokasi.

“Sedih melihat keadaan Dataran Merdeka selepas aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina.

“Awal pagi tadi, ribuan orang berhimpun untuk bersorak, meraikan bola sepak dan berkongsi kegembiraan. Namun apabila sorakan berakhir, padang bersejarah ini ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah sarap.

“Dataran Merdeka ialah lambang maruah dan sejarah negara. Cara kita meninggalkannya mencerminkan cara kita menghargainya. Kita boleh meraikan dengan meriah. Kita boleh bersorak sepuasnya tetapi kebebasan untuk bergembira tidak pernah bermaksud kebebasan untuk mengotorkan ruang milik bersama,” maklum kenyataan itu.

Menurut DBKL, kota yang hebat bukan hanya dinilai ketika orang ramai datang tetapi melalui keadaan yang mereka tinggalkan apabila pulang, justeru, orang ramai digesa bersama-sama memelihara kebersihan ibu negara dan menganggap Kuala Lumpur sebagai rumah sendiri yang perlu dijaga demi kesejahteraan semua.

Awal pagi ini, Dataran Merdeka bertukar menjadi stadium terbuka apabila dibanjiri lebih 25,000 peminat bola sepak yang berhimpun bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 yang menyaksikan kemenangan 1-0 Sepanyol ke atas Argentina. — BERNAMA.

Baca juga: Jangan guna kedudukan Persekutuan serang rakan dalam Kerajaan Madani – PM Anwar