Jangan guna kedudukan Persekutuan serang rakan dalam Kerajaan Madani – PM Anwar

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan untuk tidak menggunakan kedudukan bagi menyerang rakan Kerajaan Persekutuan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Hal ini kerana Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak mahu jika hubungan di peringkat Persekutuan dengan pentadbiran negeri terjejas akibat daripada tindakan dikhuatiri boleh mencetuskan ‘medan politik parah’.

Beliau juga menegaskan bahawa pihak yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan tertakluk pada disiplin dan mereka seharusnya berundur daripada kedudukan tersebut sekiranya tetap memilih untuk melanggarnya.

Anwar berkata sedemikian selepas menghadiri ‘Program Madani Kita’ diadakan di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Ipoh, semalam yang mana peringatan tersebut dikongsikan semula menerusi perkongsian dimuat naik di platform Facebook.

“Saya memberi peringatan kepada semua Menteri, Timbalan Menteri dan pemegang jawatan agensi Kerajaan Persekutuan supaya berdisiplin sepanjang tempoh kempen. Berkempen dan bertarunglah atas isu-isu negeri.

“Jangan sesekali menggunakan kedudukan di peringkat Persekutuan untuk menyerang rakan yang sama-sama menganggotai Kerajaan MADANI. Jika ada yang memilih untuk berbuat demikian, maka wajar untuk mereka melepaskan jawatan,” katanya.

Difahamkan, perkara tersebut juga sudah dipersetujui di peringkat kepimpinan dalam perbincangan yang dilakukan Anwar bersama dua timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sehubungan dengan itu, gabungan dalam Kerajaan Perpaduan diminta mengawal hubungan baik sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri agar tidak terjejas sekali gus boleh meneruskan khidmat diamanahkan oleh rakyat.

Peringatan tersebut diberikan menjelang kehangatan kempen PRN Negeri Sembilan ke-16 yang sedang berlangsung dalam tempoh 14 hari sebelum tamat pada 31 Julai, tepat jam 11.59 malam seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Baca juga: Bantuan SAR pernah dihentikan, bekas pelajar dedah jasa PM Anwar yang ramai tak tahu