Personaliti media sosial, Ammar Nazhan pernah dikritik sebelum ini kerana mencipta kandungan atau ‘content’ melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
Kini, nama lelaki berusia 26 tahun itu sekali lagi terpalit kontroversi apabila dituduh tinggal serumah dengan beberapa orang gadis termasuk teman wanitanya sendiri.
Difahamkan, para wanita berkenaan terdiri daripada ‘talent’ atau personaliti yang bekerja di bawah Ammar untuk menghasilkan content di akaun media sosial miliknya.
Hal ini kerana, rumah Ammar Nazhan yang terletak di Cyberjaya, Selangor itu dikatakan telah dijadikan studio olehnya untuk merakam segala video terbitannya.
Pendedahan tersebut dibuat oleh aktivis yang juga pempengaruh media sosial terkenal, Cikgu Mohd Fadli Salleh menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.
Fadli Salleh turut berkongsi beberapa tangkap layar perbualannya bersama individu yang mendakwa dirinya sebagai penduduk di kawasan kejiranan Ammar Nazhan.
Tidak hanya tinggal bersama wanita, jiran tersebut turut mengadu bahawa Youtuber terbabit sering menganggu privasi penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan.
Ammar juga sering menganggu ketenteraman awam dengan membuat bising di tengah malam dan memulakan pergaduhan bersama pengawal keselamatan.

Susulan daripada penularan perkongsian Fadli, Ammar tampil menyangkal dakwaan tersebut dan menyifatkan isu itu sengaja disebarkan untuk menjatuhkan maruah.
“Saya tak teragak-agak untuk saman mana-mana pihak yang menuduh kami tanpa bukti. Menyebar berita palsu yang dikeluarkan untuk menjatuhkan imej kami.
“Jika berani, tolong berjumpa dengan saya sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak betul,” tulis Ammar menerusi satu hantaran di Instagram ‘story’ miliknya.
Enggan berdiam diri, Cikgu Fadli Salleh membuat satu lagi hantaran yang mencabar Ammar untuk mengambil tindakan saman jika dakwaan dibuat jirannya itu salah.
Menyimpan segala bukti berbentuk gambar dan rakaman ‘kegiatan’ Ammar, jiran tersebut difahamkan langsung tidak gentar sekiranya Ammar mahu menyamannya.

“Bring it on. Saya ada gambar team dia memarkir di depan rumah orang lain tanpa izin. Ada bukti video dan gambar kegiatan mereka.
“Rakaman audio dan video kereta dia yang bising memekak itu juga ada. Saya dah sediakan semua bukti sebelum beritahu cikgu. Nak saman? Bring it on.” Kata jiran tersebut melalui Fadli.
Baca juga: “Jangan persenda perjalanan hidup orang”, Erra Fazira tampil pertahan Engku Emran