Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh warga Selangor yang menyambut perayaan cahaya ini, khususnya komuniti Hindu.
Beliau berkata, rakyat Malaysia dapat menghela nafas lega kerana sambutan Deepavali kali ini dapat diraikan dengan keluarga dan kawan-kawan tersayang setelah bergelut dan berhadapan dengan ‘lockdown’ selama hampir dua tahun.
Katanya, erti Deepavali boleh dikatakan sama dengan situasi yang sedang dihadapi rakyat Malaysia kerana hampir dua tahun hidup dengan kegelapan yang berpunca dari penularan wabak Covid-19 .
“Sebagai perayaan pertama yang diraikan dalam keadaan aktiviti-aktiviti sosial dibenarkan beroperasi secara penuh setelah pandemik Covid-19 melanda awal tahun 2020, wajar kita menelusuri makna asal Deepavali yang saya kira hadir tepat pada waktunya.
“Dalam erti kata lain, Deepavali disambut dengan begitu meriah kerana ia membawa maksud pengakhiran kegelapan dan permulaan masa hadapan yang cerah, serta kebaikan mengalahkan kegelapan.
“Dengan keterbukaan dan kesedaran anda untuk melindungi diri dan keluarga dengan mengambil dos vaksin yang lengkap, kini kita melihat sedikit cahaya yang mula muncul apabila aktiviti-aktiviti ekonomi serta sosial dibuka, dan rakyat boleh merentas daerah dan negeri untuk mengunjungi keluarga dan kawan-kawan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Amirudin mengingatkan agar semua pihak bertanggungjawab dengan terus mengamalkan kawalan kendiri seperti memakai pelitup muka, menggunakan ‘hand sanitiser’ dan cuba sebaik mungkin untuk mengekalkan penjarakan fizikal agar kita tidak kembali ke zaman lockdown seperti sebelum ini.
Beliau juga berkata, bagi masyarakat India khususnya, kerajaan negeri Selangor telah mengusahakan beberapa perkara bagi memelihara kelangsungan hidup dan membuka peluang pekerjaan.
Antaranya, Program Pembangunan Usahawan India Selangor atau SITHAM yang dilengkapi empat program kesusahawanan, iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan dan program bantuan peralatan perniagaan ataupun geran.
Sehingga bulan Oktober lalu, lebih 2,000 peserta telah menyertai program ini.
“Tambahan kepada itu, kerajaan negeri menginsafi kepentingan keterhubungan komuniti dalam kalangan masyarakat India. Aspek itu mendorong Kerajaan Negeri untuk meningkatkan bilangan Ketua Komuniti India dari 48 kepada 62 di seluruh negeri Selangor.
“Pada 26 November 2021, saya akan membentangkan Belanjawan Selangor 2022 yang akan mengandungi beberapa usaha selaras dengan detik sektor ekonomi sudah mula dibuka
“Saya pasti peluang pekerjaan menjadi pemberi harapan serta penjamin kelangsungan hidup. Aspek ini akan menjadi antara fokus utama dalam merangka Belanjawan ini dengan harapan ia mampu memberikan booster kepada ekonomi negeri Selangor,” ujarnya.