Demi ringankan beban isteri, bapa sanggup cekik anak kembar autisme hingga maut

Oleh WAN SITI AMINAH

Terlalu larut dalam emosi, seorang bapa sanggup bertindak di luar jangkaan dengan mencekik dua orang anak kembar sehingga mati.

Lelaki berkenaan difahamkan bertindak sedemikian untuk meringankan beban isteri kerana kembar berkenaan menghidap spektrum autisme.

Meskipun simptom autisme sudah mula dikesan sejak anaknya berusia dua tahun, namun isterinya seakan-akan tidak boleh menerima keadaan itu.

Ketika anak kembar mereka beranjak ke usia sembilan tahun iaitu pada tahun 2021, isterinya semakin berubah dan sering memarahi anak istimewa itu.

Malah, isterinya juga cuba membesarkan kembar autisme itu seperti kanak-kanak normal dengan mendaftarkan mereka ke sekolah biasa.

Semenjak itulah lelaki berkenaan dipercayai mula menghadapi tekanan yang berat dan mempunyai keinginan untuk membunuh dirinya sendiri.

Tidak tahan lagi melihat layanan isterinya terhadap anak kembar itu, lelaki tersebut membuat keputusan untuk menamatkan riwayat mereka pada Januari tahun lalu.

Keputusan itu juga didorong dengan kebimbangan bahawa tidak ada siapa yang akan menjaga anak kembarnya jika dia dan isteri meninggal dunia.

Memetik laporan The Straits Times, perbuatan itu dilakukan di kawasan taman permainan dekat Greenridge Crescent, Singapura pada 21 Januari tahun lalu.

Lelaki berusia 50 tahun yang dikenali sebagai Xavier Yap Jung Houn itu membawa anak kembarnya bermain di taman sebelum bertindak membunuh mereka.

Xavier dilaporkan telah mencekik dan membenamkan muka dua anak lelaki yang berusia 11 tahun itu di parit berdekatan dengan taman permainan.

Bapa itu kemudian cuba membunuh dirinya dengan mencungkil perut, dada dan belakang badannya dengan menggunakan pencungkil ais namun tidak berjaya.

Selepas mengaku bersalah membunuh dua anak kembarnya, Xavier dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Singapura pada Rabu lalu.

Disahkan mengalami kemurungan setelah membunuh zuriatnya sendiri, Xavier difahamkan sedang menjalani prosiding penceraian dengan isteri.

Menerusi surat yang disampaikan melalui peguamnya, Xavier mendakwa isterinya langsung tidak bersedih dengan kematian dua anak kembar mereka.

Kata Xavier, isterinya telah membawa kekasihnya tinggal di rumah mereka setelah pemergiannya dan anak-anak daripada kediaman tersebut.

Baca juga: Kongsi video peluk isteri pertama 3 jam sebelum kahwin lain, netizen persoal motif ‘influencer’