Denda menanti pada sesiapa yang ambil ganja semasa bercuti ke Thailand

Oleh KIM SYAZIE

Pada awal tahun ini, Thailand membenarkan penanaman ganja dan penggunaannya dalam makanan dan minuman, sekali gus menjadi negara Asia pertama berbuat demikian dengan tujuan meningkatkan sektor pertanian dan pelancongan.

Di bawah peraturan baharu itu, orang ramai boleh menanam tanaman ganja di rumah selepas memaklumkan kepada kerajaan tempatan, tetapi ia tidak boleh digunakan untuk tujuan komersial tanpa lesen lanjut.

Selepas pengumuman itu, ramai mengambil kesempatan menikmati minuman tersebut selain pembelian minuman berasaskan ganja di Tahiland meningkat setiap kali tibanya hujung minggu, beritahu seorang pekerja kedai serbaneka di negara tersebut, memetik laporan Sinar Harian.

Susulan itu, pihak polis memberi amaran mana-mana rakyat Malaysia yang didapati positif dadah selepas pulang dari Thailand akan diambil tindakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, lapor Sinar Harian.

Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar dilaporkan telah menjalankan satu operasi Op Tapis Sempadan di pos kawalan warta iaitu Wang Kelian dan Padang Besar pada 23 hingga 24 Julai lepas.

Dilaporkan, dari 96 pemeriksaan dilakukan, enam daripada 71 individu yang menjalani saringan ujian air kencing didapati positif dadah dalam Op Tapis Sempadan itu.

Justeru, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, akta dan tindakan sama akan diambil kepada mana-mana individu memasukkan dadah dalam tubuh badan dan didapati positif di negara ini.

“Jika ada rakyat Malaysia dengan sengaja mencuba dan mengambil dadah atau apa-apa produk ganja yang menyebabkan mereka khayal akan didapati bersalah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Membawa masuk produk berasaskan ganja juga merupakan kesalahan di bawah akta yang sama dan akan dituduh memiliki atau mengedar dadah jika ia dalam kuantiti yang besar,” katanya kepada akhbar itu hari ini.

Bagaimanapun setakat ini, polis belum mengesan produk berasaskan ganja ataupun ketum dibawa masuk ke Perlis namun akan terus membuat pemeriksaan dan tangkapan jika menemui rakyat Malaysia yang bertindak sedemikian.

Gambar sekadar hiasan

Baca juga: PM diingatkan tidak bubar Parlimen sebelum Belanjawan 2023 diluluskan – Kit Siang

Baca juga: Bagaimana pemuda ini diterima kerja di Bank Dunia? Hantar 1,500 permohonan, 600 emel, 80 kali ‘call’