Ugutan kepada rakyat Sarawak satu penghinaan, MP desak Ismail minta maaf

Oleh KIM SYAZIE

Calon DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah, Kelvin Yii menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memohon maaf kepada rakyat Sarawak kerana secara terbuka telah mengugut masyarakat di negeri itu.

Ia susulan kenyataan Ismail pada semalam, bahawa projek pembangunan di Sarawak mungkin tidak dapat dilaksanakan jika pengundi di sana memilih kerajaan negeri berbeza dengan persekutuan.

Justeru Kelvin menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan hari ini untuk meneruskan pembangunan kepada rakyat tanpa mengira kecenderungan politik mereka.

“Ini adalah ancaman terbuka kepada rakyat Sarawak dan menghina rakyat kita. Sudah terlalu lama, walaupun Sarawak telah menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan sejak 50 tahun lalu, kita masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding wilayah lain di negara ini.

“Dana awam diperoleh daripada cukai yang dibayar oleh semua orang tanpa mengira siapa yang mereka undi.

“Dalam semangat demokrasi, tiada siapa yang harus dihukum kerana undi mereka dan mana-mana kerajaan yang menggunakan ini untuk mengancam rakyat harus ditolak dengan apa cara sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Ahli Parlimen Bandar Kuching itu juga menegaskan, ‘politik pembangunan’ adalah sebahagian daripada politik lama yang harus ditolak semua pihak.

Jelasnya, para pengundi harus diberi pilihan untuk menilai setiap calon dan parti berdasarkan visi, hala tuju dan rekod prestasi mereka.

“Sebab itu, slogan Keluarga Malaysia adalah retorik semata-mata jika mereka sanggup anak tirikan Sarawak hanya kerana kita mungkin tidak mahu mengikut arahan Perdana Menteri dari Putrajaya.

“Kami tidak akan tunduk kepada pemikiran tunduk seperti itu. Ia benar-benar menjijikkan,” katanya