Wanita ragu nak bagi kawan pinjam RM10k, alasan pinjam sebab nak daftar anak ke tadika swasta

Oleh KIM SYAZIE

Seorang wanita mendedahkan rakannya mahu meminjam RM10,000 daripadanya hanya kerana mahu mendaftar masuk anak ke ke pusat pendidikan awal kanak-kanak yang ternama.

Wanita itu ragu-ragu untuk memberikan jumlah sebesar itu selepas mengetahui rakannya tidak mempunyai simpanan walaupun memiliki gaji bersih sekitar RM2,000.

Dia yang enggan dikenali berkata, pada awalnya, rakannya itu datang sambil berkongsi cerita tentang anaknya yang sudah memasuki usia empat tahun.

“Ada seorang kawan ni datang cerita pasal taska anak, tahun depan anak dia berusia empat tahun dan dia nak budak tu lebih berdisiplin berbanding sekarang.

“Tapi yuran tahunan dan bulanan memang tak masuk akal untuk ‘kindy’ di Kedah. Yuran tahunan sekitar RM2,000 dan bulanan pula RM500.

“Gaji dia pula sekitar RM3,000 tapi rumah dapat (percuma) daripada mak ayah dan anak diasuh oleh orang tua tu juga.

“Diaorang hanya bayar Honda City RM650 sebulan dan utiliti sekitar RM300, tapi tiada simpanan,” ujarnya.

Menurut wanita ini, dia tergamam selepas mendengar perincian belanja dan kewangan dikongsikan rakannya itu yang dianggarkan mempunyai lebihan gaji sebanyak RM2,000, tetapi tiada tabungan.

Pada masa sama, dia turut meluahkan kebimbangan sekiranya rakannya itu tidak dapat membuat bayaran semula jika dia bersetuju meminjamkan wang RM10,000 seperti diminta.

“RM10,000 tu sepatutnya untuk kecemasan, dan aku terfikir, macam mana mereka nak bayar balik kat aku kalau simpanan sendiri pun tak mampu,” luahnya lagi.

Sementara itu warganet yang membaca luahan itu mempersoal gaya hidup rakannya yang tidak terlihat seperti orang susah, tetapi sanggup meminjam tanpa mempunyai perancangan pembayaran balik.

Ada juga yang menyarankan rakannya mendaftarkan anak ke sekolah tabika kemas yang lebih murah dan berpatutan.

Baca juga: Lelaki buka beg kuning jual angin pantai segar, tak sangka rupanya sudah 13 orang beli!