Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyelar tindakan kerajaan yang mengenakan kompaun RM10,000 kepada PKR yang menganjurkan ceramah bergerak tanpa kehadiran orang ramai di Paya Rumput Melaka, tempoh hari.
Veteran DAP itu menyifatkan, denda yang dikenakan itu adalah salah satu contoh kemuncak kebodohan dalam tempoh Pilihan Raya Negeri Melaka yang sedang berjalan.
“Saya fikirkan, PKR Melaka sepatutnya dipuji kerana menggunakan cara yang unik untuk berkempen dalam PRN ini yang mengambil kira kepentingan untuk tidak memburukkan lagi keadaan Covid-19.
“Pada masa yang sama mereka meneruskan objektif untuk mencapai satu pilihan raya yang bebas, adil, dan bersih. Sebaliknya mereka dikenakan denda RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, PKR dilaporkan telah dikenakan denda sebanyak RM10,000 kerana menganjurkan acara berkaitan pilihan raya di Melaka, walaupun parti itu mendakwa ceramah bergerak dianjurkan mereka ‘tanpa kehadiran orang ramai’ bagi mengelak penularan Covid-19.
Ketua Penerangannya Shamsul Iskandar Md Akin berkata, PKR telah memutuskan untuk mengadakan dua ceramah bergerak ‘tanpa kehadiran orang ramai’ pada 30 Oktober di kawasan Paya Rumput.
Dalam ceramah itu, jelasnya penceramah akan berdiri di atas pentas yang dibina di atas lori dan diletakkan di tengah-tengah kawasan perumahan untuk menyampaikan ceramah dengan menggunakan pembesar suara.
Katanya, mereka yang berminat untuk mendengar ceramah boleh duduk di hadapan rumah masing-masing bagi mendengar ceramah tanpa perlu berkumpul beramai-ramai
Lim turut mempertikai tindakan yang tidak diambil terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menghadiri aktiviti kempen yang dilakukan secara sorok-sorok di Melaka baru-baru ini.
Beliau dengan tegas menyifatkan larangan diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, adalah satu larangan yang tidak dipertimbangkan dengan baik dan tidak praktikal.
Larangan itu katanya perlu dibatalkan segera dan digantikan dengan SOP yang dibuat khusus untuk PRN Melaka.
“Kerana inilah saya telah menyeru supaya satu mesyuarat diadakan bersama dengan SPR, Kementerian Kesihatan, dan semua parti-parti politik yang berminat dan juga NGO yang berkenaan untuk membincangkan perkara ini,,” katanya lagi.