Difitnah ada kaitan dengan Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha, Fadhlina buat laporan polis

Oleh MALAYSIADATELINE

Kes tragis kematian Zara Qairina, pelajar berusia 14 tahun di sebuah sekolah berasrama penuh, terus menjadi perhatian masyarakat.

Tragedi yang menimpa remaja itu mengundang pelbagai reaksi masyarakat, termasuk spekulasi liar yang dikaitkan dengan pihak tertentu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan sekeras-kerasnya cubaan segelintir pihak yang mengaitkan dirinya dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan fitnah berkenaan.

“Akhir-akhir ini banyak sekali fitnah direkayasa secara liar, jahat dan menyebarkan kebencian.

“Terkini, ada beberapa individu yang cuba mengaitkan saya dengan pengetua SMKA TDM,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut fadhlina, cubaan membabitkan keluarganya dalam isu berkenaan amat dikesali, apatah lagi ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengheret nama arwah ibunya.

“Setakat tepis dan nafi, ternyata tidak menjadi pengajaran. Apatah lagi fitnah itu mengaitkan arwah ibu saya yang sudah tiada di dunia ini untuk mempertahankan dirinya.

“Fitnah yang ditaja secara jahat dan disebarkan telah memberikan implikasi kepada masyarakat,” ujarnya.

Sehubungan itu, fadhlina mengesahkan sudah mengambil langkah undang-undang dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Saya telah membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkenaan fitnah ini.

“Tindakan undang-undang juga akan diambil. Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua pihak,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menyeru masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menghormati keluarga allahyarham zara qairina.

“Saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi. Hormati keluarga allahyarham Zara Qairina dan beri ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Jika keadilan itu yang kita cari, maka ia harus ditegakkan dengan paksi kebenaran. Sesungguhnya keadilan itu sangat dekat dengan takwa,” tegas beliau.

Baca juga: Ada jenama antarabangsa batal kontrak jutaan ringgit saat Neelofa umum berniqab