Pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki meluahkan rasa kecewa dengan Menteri Ekonomi yang juga timbalan Presiden PKR apabila menggelarkan dirinya sebagai pelawak profesional.
Afdlin Shauki yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang di Cabang Setiawangsa mengalahkan Nik Nazmi ketika pemilihan PKR baru-baru ini menganggap tindakan Rafizi itu memberi kesan yang bukan kecil untuk dirinya.
Katanya, beliau masuk bertanding dalam parti bukan ketika PKR berada di puncak kuasa, tetapi sewaktu ramai memilih untuk menjauh ketika paeti kalah teruk akibat gelombang Langkah Sheraton.
“Saya tidak tunggu peluang terbuka luas baru datang mencuba nasib. Saya tampil ketika parti sedang luka dan ramai yang tidak lagi percaya kita mampu bangkit.
“Saya memilih untuk yakin dan berjuang, walau dari gelanggang yang asing bagi orang politik iaitu dunia seni,”katanya.
Jelasnya, beliau tidak malu dengan gelaran pelawak dan juga pengarah, penerbit, penulis, pendidik serta aktivis sosial kerana ia sebahagian daripada identitinya sebagai anak seni yang menyara keluarga selama ini.
“Tetapi apabila label itu (pelawak professional) digunakan dalam konteks mempertikai kelayakan dan mandat kepimpinan yang diberikan oleh akar umbi, maka ia membawa maksud yang lain.
“Seolah-olah suara ahli yang memilih saya tidak wajar diberi penghormatan hanya kerana latar belakang saya tidak datang dari ‘kilang politik’,” luahnya.
Namu begitu, Afdlin juga menambah beliau terbuka untuk bekerjasama termasuk dengan Rafizi sendiri demi membina cabang yang lebih kuat dan membawa parti ke hadapan.
“Tetapi saya juga tidak akan berdiam apabila integriti dan mandat yang saya pikul cuba dipertikai secara terbuka dan sinikal.
“Saya terbuka untuk berdialog. Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak akan berdiam diri jika usaha saya dan suara akar umbi cuba dipinggirkan hanya kerana saya tidak datang dari ‘kilang politik’ yang sama,” , tambahnya.
baca: Rafizi Menteri Ekonomi