Dilahirkan dengan dua alat kelamin, ini lembu khunsa pertama di Malaysia

Oleh WAN SITI AMINAH

Kehadiran seekor lembu di Kampung Gong Stol, Bukit Tunggal, Kuala Nerus telah berjaya menyita perhatian ramai setelah dilahirkan dengan dua alat kelamin.

Difahamkan, haiwan baka Kedah Kelantan (KK) atau lebih dikenali sebagai lembu kampung itu adalah lembu khunsa pertama yang wujud di Terengganu.

Walaupun dilahirkan dengan ‘kelainan’, lembu yang kini berusia setahun dua bulan itu mampu membesar dengan baik tanpa sebarang masalah.

Merupakan satu keajaiban, perkara itu didedahkan oleh pemiliknya iaitu penternak berusia 50 tahun yang dikenali sebagai Daud Othman.

Daud memaklumkan bahawa lembu seberat 180 kilogram (kg) itu lebih cenderung kepada jantina betina berdasarkan tabiat binatang itu membuang air kecil.

Kecenderungan itu juga berjaya diperhatikan pemilik apabila alat kelamin betina milik binatang berkenaan yang dikatakan lebih berfungsi.

Memetik Berita Harian, Daud mengaku bahawa kejadian menakjubkan itu adalah pengalaman pertamanya walaupun sudah menternak lembu lebih 20 tahun.

“Lembu itu dilahirkan dengan dua alat kelamin. Sepanjang lebih 20 tahun saya menternak, ini kejadian pertama.

“Ramai penternak lembu datang ke kandang untuk melihat dan memberitahu kes seperti ini jarang,” katanya memetik Berita Harian.

Menurut Daud, lembu unik itu tetap akan dijual mengikut harga semasa apabila sudah cukup umur kerana tujuan utamanya menternak adalah untuk berniaga.

Meskipun jarang ditemui, dua alat kelamin itu bagaimanapun tidak akan memberi apa-apa nilai tambah yang bakal mendorong kenaikan harga binatang tersebut.

“Saya menternak untuk tujuan jualan. Apabila ia sudah cukup umur, iaitu dua hingga tiga tahun, lembu itu akan dijual berdasarkan harga semasa.

“Biasanya lembu atau haiwan yang dilahirkan cacat, kembar siam atau khunsa sukar untuk hidup lama. Berbeza dengan lembu ini yang mampu bertahan hidup dengan baik.

“Sebab itulah ia (lembu khunsa milik Daud) mendapat perhatian ramai penternak.” Jelasnya.

Baca juga: Rupanya ada sebab kenapa kanak-kanak iringi pemain bola sepak ketika masuk dalam padang, ini logiknya