Beberapa anggota polis daripada sebuah balai terperanjat apabila seorang kanak-kanak merayu agar dirinya dihantar ke rumah anak yatim.
Tampil membuat laporan polis terhadap ibu kandungnya, kanak-kanak lelaki terbabit rupa-rupanya baru sahaja dimarahi kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.
Bertindak lari daripada rumah, pelajar sekolah yang berusia 10 tahun itu terus menuju ke balai polis dan meminta pegawai ‘menghukum’ ibunya.
Menyita perhatian ramai, satu tangkap layar dari video kamera litar tertutup (CCTV) balai polis yang merakamkan kejadian tersebut turut tersebar di media sosial.
Menerusi rakaman tersebut, kanak-kanak itu dilihat segera masuk ke balai sebelum disambut oleh dua anggota polis wanita yang sedang bertugas.
Difahamkan, pelajar yang merayu untuk dihantar ke rumah anak yatim itu mulanya dipujuk oleh anggota untuk memberikan maklumat mengenai ibu bapanya.
Ibu kanak-kanak itu mengaku terkejut apabila dihubungi polis dan mengesahkan bahawa pertengkaran mereka berpunca daripada kerja sekolah yang tertunggak.
Namun, wanita tersebut tidak menyangka anak lelakinya itu sanggup bertindak melarikan diri dan berhasrat ke rumah anak yatim hanya kerana dimarahi.
Memetik laporan Oddity Central, kejadian yang mengejutkan itu difahamkan berlaku di Balai Polis Huixing, bandar Chongqing yang terletak di kawasan barat China.
“Saya keluar dari rumah kerana ibu kerap memarahi saya sebab tidak membuat kerja sekolah. Ibu saya tidak berhenti beleter dan minta saya belajar setiap hati.
“Jadi saya keluar kerana lebih sanggup tinggal di rumah anak yatim,” mengadu kanak-kanak berkenaan kepada pegawai polis yang menerima laporan.
Setelah dimaklumkan oleh pegawai polis, bapa pelajar tersebut kemudian hadir ke balai berkenaan untuk menjemput anaknya pulang ke rumah.
Mulanya enggan mengikut bapanya, hati kanak-kanak itu mulai lembut setelah diberitahu pegawai polis mengenai keadaan sebenar di rumah anak yatim.
Baca juga: Tiara rupanya ada masalah pembelajaran, Achey galak berniaga untuk asah ‘skill’ anak