Disangka kucing terbiar rupanya tak suka ‘lepak’ rumah, ini kisah sebenar Oyen MRT Maluri

Oleh WAN SITI AMINAH

Kehadiran seekor kucing dikenali sebagai ‘Oyen’ di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Maluri telah menimbulkan kebimbangan pengguna pengangkutan awam tersebut.

Berkongsi rasa simpati, ramai yang khuatir sekiranya haiwan peliharaan itu diabaikan atau dibuang di tempat tumpuan orang awam oleh pemilik tidak bertanggungjawab.

Salah seorang pengguna MRT Maluri yang prihatin kemudian mengambil keputusan untuk menghubungi nombor telefon tertera pada rantai di leher kucing berkenaan.

Misteri akhirnya terungkai apabila pemilik ‘Oyen’ membalas pesanan pengguna MRT dikenali sebagai @HeyFitzz menceritakan keadaan sebenar haiwan peliharaannya.

Jelas pemilik terbabit, Oyen lebih suka tinggal di MRT tersebut berbanding di rumah kerana tidak ‘sebulu’ dengan 20 ekor kucing lain yang turut dipelihara oleh tuannya.

Orang awam juga tidak perlu khuatir kerana pemiliknya itu datang ke stesen tersebut setiap hari untuk memberikan makanan kepada Oyen pada waktu siang dan malam.

Tangkap layar perbualan di aplikasi Whatsapp bersama pemilik Oyen turut dikongsi oleh @HeyFitzz menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun X miliknya.

“Terima kasih (kerana prihatin). Dia memang tinggal di situ. Saya tinggalkan nombor telefon sekiranya dia tersasar ke stesen lain. Sudah dua tahun dia berada di bawah jagaan saya.

“Saya berikan makanan setiap hari, siang dan malam. Saya juga menghantarnya ke klinik untuk divaksinasi dan menghilangkan cacing di dalam badannya. Cuma dia memang suka tinggal di situ (MRT Maluri).

“Jadi saya akan melawat setiap hari untuk memberikan dia makanan. Kalau dia sakit, saya juga menghantarkannya ke klinik haiwan,” jelas pemilik Oyen dalam perbualan tersebut.

Susulan perkongsian tersebut dimuat naik oleh @HeyFitzz, rupanya ramai pelayar X lain yang menyedari kehadiran Oyen dan turut menghubungi pemilik kucing tersebut.

Rata-ratanya memahami ‘perasaan’ Oyen yang membawa diri dan menagih kasih serta perhatian daripada orang lain meskipun pemiliknya sendiri tidak pernah mengabaikan kebajikannya.

Baca juga: Terkejut makanan di Perlis murah-murah, netizen pakat ajak pindah lepas tahu 3 pinggan nasi cuma RM15