Diskaun tol 50 peratus sempena Krismas pada 23 & 24 Disember – Nanta

Oleh MAISARAH AISYA

Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus kepada pengguna kenderaan persendirian pada 23 dan 24 Disember 2025, sempena sambutan Hari Krismas pada 25 Disember.

Langkah ini selaras dengan semangat perpaduan Malaysia Madani dan bertujuan meringankan kos perjalanan rakyat.

Diskaun ini terpakai untuk kenderaan kelas 1 (kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) di semua plaza tol kecuali Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kerajaan akan menanggung kos pampasan dianggarkan RM20.65 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.

“Pemberian diskaun tol 50 peratus ini diharap dapat meringankan sebahagian dari beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang pulang ke kampung halaman untuk melawat ahli keluarga sempena sambutan Hari Krismas atau bercuti bersama-sama keluarga sempena musim cuti sekolah.

“Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan MADANI dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat semua peringkat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Selain meringankan kos perjalanan, inisiatif ini juga dijangka membantu penyuraian trafik musim cuti sekolah, terutama bagi mereka yang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga.

Kementerian Kerja Raya (KKR) menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan bijak melalui aplikasi TuJu Highway Navigation App LLM dan MyPLUS-TTA.

Pemandu disarankan mematuhi cadangan jadual perjalanan, had laju, papan tanda dan peraturan keselamatan di lebuh raya.

Baca juga: Isu bantuan banjir: Rakyat Indonesia cipta lagu, luahkan kemarahan pada pemerintah