Ditahan dalam operasi hiburan, polis wanita positif 4 jenis dadah

Oleh MAISARAH AISYA

Sebagai pegawai polis, seharusnya menjadi contoh untuk masyarakat tapi semakin banyak kes melibatkan anggota beruniform.

Terbaru, seorang pegawai rendah polis wanita ditahan dalam Operasi Hiburan sempena ambang sambutan Tahun Baharu 2025.

Menurut Kosmo Online, wanita tersebut di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak dan ia disahkan oleh Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail.

Beliau memaklumkan suspek yang berusia 26 tahun jtu didapati positif empat jenis dadah ketika pemeriksaan dilakukan.

Menurutnya, suspek ditahan sekitar pukul 2 pagi ketika operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

“Suspek, yang sedang bercuti sebelum melaporkan diri di Kontinjen Johor telah dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan awal ke atasnya mendapati dia positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tegas beliau, suspek telah direman selama dua hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Baca juga: Empat maut tanpa kecederaan luaran lepas hadir konsert tahun baru, polis jalan siasatan