Baru-baru ini tular satu rakaman di platform media sosial memaparkan seorang kanak-kanak dipercayai mengikuti ‘ritual silat’ di mana air limau nipis diperahkan ke dalam kedua-dua belah matanya.
Menerusi keterangan dalam video dikongsikan di platform TikTok itu, upacara dikatakan diberi nama sebagai Majlis Perlimau Tapak berkenaan merupakan salah satu acara yang paling ditakuti oleh para pesilat.
Difahamkan, upacara memerah dua biji limau ke dalam sepasang mata kanak-kanak berkenaan bertujuan untuk menguatkan badan serta semangat peserta agar menjadi pesilat yang bagus di dunia dan akhirat.
Berdasarkan rakaman berdurasi 27 saat itu, terlihat kanak-kanak lelaki sedang terbaring sebelum kedua belah mata miliknya dibuka lalu ditutup secara berulang-kali ketika air limau tersebut diperahkan.
Namun tidak dapat dipastikan apakah sebenarnya yang dirasakan oleh pesilat cilik berkenaan sehingga menutup dan membuka matanya berulang-kali sama ada sedang menahan sakit atau sebaliknya.
“Benda yang paling ditakuti untuk pesilat adalah perlu diperah air limau nipis di mata. Tujuannya adalah untuk menguatkan badan dan menyakinkan peserta supaya manjadi pesilat yang bagus di dalam dunia dan akhirat,” tulis keterangan dalam video itu.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian video tersebut telah berjaya meraih tontonan sebanyak 1.1 juta dari pengguna TikTok yang mana 69,700 pelayar turut meninggalkan tanda suka.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna meluahkan kegusaran terhadap upacara tersebut terutamanya kesan kepada kesihatan mata para pesilat cilik.
Pertanyaan mengenai perkara ini turut disampaikan oleh pengguna kepada akaun TikTok milik pegawai perubatan yang agak dikenali di platform tersebut iaitu Dr Shazwanie Azeera Soberi.
Tampil merungkai persoalan orang ramai, Dr Shazwani di dalam perkongsiannya menjelaskan bahawa air perahan limau dan lemon mengandungi asid sitrik bernilai pH 2.0 sehingga 2.6 yang bersifat sangat berasid.
Oleh yang demikian, amalan memerah air limau ke dalam mata boleh menyebabkan kornea terbakar, sakit ataupun kemerah-merahan berikutan salah satu alat pancaindera manusia ini bersifat neutral.
“Kornea mata kita memiliki nilai pH bersifat neutral iaitu 7.0 hingga 7.3. Dengan meletakkan benda yang berasid ke dalam mata, boleh membuatkan kornea kita terbakar, sakit atau kemerah-merahan.
“Dalam jangka masa yang panjang, boleh menyebabkan kerosakan pada kornea dan mata. Manakala penggunaan yang berpanjangan pula boleh menjadi punca kebutaan,” jelasnya dalam satu perkongsian di TikTok.