Filem ‘Gayong’ dipuji setaraf IP Man, pengulas kagum produksi berjaya hidupkan era Melayu klasik sebenar

Oleh KIM SYAZIE

Gayong, sebuah filem aksi biografi Melayu tempatan, bukan sekadar hiburan di layar perak.

Bagi sesetengah penonton, ia adalah satu pengalaman yang membawa mereka ‘pulang’ ke akar budaya dan warisan silat yang semakin jarang diketengahkan secara autentik di layar pawagam.

Seorang pengulas filem, Faiz Akmal Mfa, meluahkan keterujaannya selepas menonton filem berkenaan di pawagam yang penuh sesak, lengkap dengan kehadiran penonton bertanjak dan membawa keluarga.

“Selepas menonton karya ini, yes! Filem ini penuh dengan unsur kemelayuan sejati, ala-ala filem Melayu klasik dulu-dulu dengan memaparkan figura Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman sebagai satu lagi watak ikonik.

“Vibe tonton filem ini macam sedang tonton IP MAN. Cara filem ini digarap nampak sangat kemas,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Mengangkat figura legenda persilatan, Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman (DMAR), sebagai watak utama, Faiz menyifatkan pemilihan pelakon Beto Kusyairy sebagai DMAR adalah keputusan yang bijak dan tepat.

“Sosok beliau sebagai DMAR, nampak betul karisma dan keperwiraannya tu. Lagi-lagi masa opening scene saat DMAR selamatkan Panglima Merah dari dibelasah oleh si fighter Muay Thai tu.”

Dalam ulasannya, Faiz turut memuji usaha produksi dalam mencipta suasana era silam yang begitu meyakinkan.

Dari kostum, props, hinggalah kepada suasana kampung, semuanya seolah-olah membawa penonton ‘time travel’ ke zaman kegemilangan DMAR.

Tidak hanya memikat dari sudut naratif dan visual, filem ini turut menampilkan adegan aksi yang mantap merangkumi silat berentap dengan Muay Thai, Kung Fu, dan juga tentera Jepun.

“Koreografi aksi tempur tanpa senjata, aksi tempur dengan senjata, dan aksi persilatan semua sangat kemas dan cantik,” puji Faiz.

Namun, beliau tidak menafikan ada beberapa perkara yang mengecewakan seperti waktu tayangan watak Panglima Merah dan isteri DMAR yang terlalu singkat, serta babak kemaraan tentera Jepun yang kurang berimpak.

“Tapi saya tetap sangat-sangat suka dengan karya luar biasa ini. Terasa macam nak ulang lagi tonton karya yang penuh turun naik emosi ini di pawagam sekali lagi,” katanya penuh semangat.

Lebih mengujakan, filem Gayong memberi petanda akan hadirnya sambungan Gayong 2 yang sudah pasti dinanti-nantikan oleh penggemar filem aksi tempatan.

Faiz mengakhiri ulasan dengan menyeru orang ramai untuk menyokong karya tempatan.

“Terutama buat semua yang menggemari filem yang menjalinkan elemen persilatan Melayu, aksi seni bela diri, budaya dan adat resam orang Melayu, dan biografi tokoh sejarah. Maka, GAYONG pasti tidak akan menghampakan anda.”

Baca juga: “Suami tak bagi nafkah sebab sibuk berjudi, aku tebal muka minta dekat bapa mentua, tak hirau dimaki”