Dr Akmal Salleh beri kerjasama penuh, tidak gentar jika disiasat bawah akta hasutan

Oleh MALAYSIADATELINE

Isu kedai yang menggantung Jalur Gemilang secara terbalik di Malaysia menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat kerana dianggap tidak menghormati lambang kedaulatan negara.

Bukan satu dua kes malah sudah banyak kes melibatkan kedai menggantung bendera secara terbalik.

Disebabkan itu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengetuai lebih 300 individu daripada UMNO, BERSATU dan PAS dalam satu perarakan sejauh 1.4 kilometer,

Tujuannya adalah untuk membantah tindakan sebuah kedai perkakasan yang mempamerkan bendera negara secara terbalik.

Muhammad Akmal menegaskan dia sanggup disiasat di bawah Akta Hasutan sekiranya itu harga yang perlu dibayar demi mempertahankan kehormatan negara lapor Berita Harian.

“Jika inilah harga yang perlu saya bayar untuk mempertahankan kehormatan negara tetapi disiasat di bawah Akta Hasutan, saya kata saya takkan berganjak dan saya beri kerjasama dengan baik.

“Jika ini harga yang perlu saya bayar, maka saya harap rakyat boleh sedar bahawa orang yang buat kesalahan dianggap hero,

“Tapi bila kita nak memperbetulkan keadaan dianggap sebagai bersalah,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Tegasnya, himpunan yang diadakan di Kepala Batas kelmarin berlangsung secara aman dan tanpa sebarang provokasi.

“Kita berjaya lakukan himpunan itu dengan aman dan tidak seperti yang digembar-gemburkan bahawa kita datang dengan kekerasan.

“Rakyat Malaysia masih mampu berfikir, namun mereka juga ada hati dan perasaan untuk menghormati lambang ini (Jalur Gemilang).

“Sekiranya tiada hukuman yang keras dan tiada tindakan diambil terhadap pihak yang sesuka hati memperkotak-katikkan lambang negara ini, maka perkara ini akan berulang dan berulang setiap tahun.

“Jika kesilapan itu disengajakan seperti mengibarkan bendera secara terbalik dan meminta ia direkodkan, ia seolah-olah menghina rakyat Malaysia,” katanya.

Baca juga: Terharu baca doa anak, ibu Anna Jobling terkejut terima surat peguam nak putus hubungan