Seorang isteri tidak dapat membendung perasaan bersalahnya terhadap sang suami yang banyak berkorban tenaga dan perasaan demi memperoleh rezeki yang halal.
Walau bagaimanapun, wanita yang dikenali sebagai Alia itu terpaksa mengecewakan lelaki terbabit dengan menghalang kemahuannya demi menjaga kewangan keluarga.
Mengakui dirinya adalah seorang isteri yang kedekut, berikut perkongsian Alia yang masih mencari jalan mengabulkan permintaan suami dengan kaedah berhemat.
“Menjelang Aidilfitri, kepala aku mulalah rasa berselirat dengan pelbagai isu yang tak habis-habis. Segala benda harus dipertimbangkan sebelum wang dibelanjakan hatta setiap satu sen yang keluar. Aku Alia, seorang isteri yang sangat kedekut. Merangkap Menteri Kewangan di dalam rumah tangga.
“Aku seorang guru tuisyen kecil-kecilan. Manakala suami aku iaitu Ali bekerja sendiri. Ali memang menyerahkan segala urusan perbelanjaan kepada aku daripada A to Z. Dikala hujung bulan Ramadhan, pelbagai dugaan datang. Peti ais kami yang berusia lima tahun ada masalah mengenai suhu sejuk.
“Suami memang pandai dalam kerja-kerja pendawaian elektrik ini. Jadi beli alat ganti sahaja. Harganya pula mencecah RM100. Ya Allah, besar betul jumlah itu untuk kami sekarang ini. Tetapi tidak mengapa, kegunaan masa panjang. Kemudian satu lagi ujian datang iaitu kereta.
“Barang kecil tetapi agak mahal iaitu RM150. Melayanglah lagi duit mendekati musim raya ini. Kalau tidak ditukar, timing (pemasaan) kereta pula turun dan naik. Kesannya, kereta akan sedikit bergegar. Jadi perlu ditukarlah sebab nak berjalan raya. Kesian suami, penat dia bekerja sana dan sini.
“Ali juga perlu bekerja berpanas di bawah terik matahari. Semoga Tuhan membalas segala titik peluh yang keluar daripada suamiku. Sebenarnya sebelum ini, suami bekerja mengikut projek. Sekarang projek ada masalah, mungkin selepas raya barulah boleh dijalankan semula.
“Aku berdoa banyak-banyak di bulan penuh mulia agar suami dapat mulakan kerja di projek itu lepas seminggu raya ini. Perihal duit raya untuk anak buah pula. Belah aku ada anak buah yang ramai. 25 ke 30 orang macam itu. Ramai kan. Di sebelah suami pula hanya ada lima orang sahaja.
“Aku selaku pemegang amanah duit keluarga bercadang untuk memberikan duit raya kepada semua anak buah RM3. Sebenarnya awal tahun hati itu, aku berniat memberi duit raya RM5 seorang. Tetapi apakan daya, ekonomi kami tahun ini sangat menurun. Pada mulanya suami berkata, siapkan duit raya untuk keluarga aku sahaja.
“Rupa-rupanya, suami akan memberi sendiri RM10 bagi setiap anak buah di sebelah keluarganya. Aku bantah. Sebabnya, Ali sendiri sudah tidak mempunyai wang tunai. Sedangkan, duit raya adalah sedekah dan mengikut kemampuan kita. Aku tetapkan hanya RM5 sahaja untuk anak buah suami. Isteri yang sangat kedekutkan aku ini?
“Hari ini pula, Ali beritahu nak ‘tinted’ (warnakan) cermin kereta. Sebabnya di depan terlalu cerah sampai nampak dalam kereta. Tetapi cermin kami memang sudah ada tinted namun sudah berkurang warnanya. Anggaran kos bawah RM150. Duit belanja padaku hanya tinggal RM1150. Tak boleh biarkan baki RM1000 sahaja.
“Aku isteri yang kedekut. Duit nak guna selepas raya perlu juga disediakan. Lama lagi nak tunggu bulan Mei. Akukah yang berdosa sebab tak setuju nak tinted kereta? Suami seakan seakan ‘bad mood’ setelah pendapat aku dinyatakan. Aku tinggal di negeri kelahiran Ali. Jadi kampung Ali dekat sahaja dalam 10 minit.
“Manakala dua kampung aku pula jaraknya di dalam 50 minit dan 2 jam. Nasib baik tak perlu lalu lebuh raya. Jimat sedikit duit tol, hanya perlu menambah nilai di dalam aplikasi atas talian untuk mengisi minyak. Waktu raya, memang kami pulang ketiga-tiga kampung.
“Adakah tahun ini kami sepatutnya pulang ke kampung suami dan aku yang jaraknya hanya 50 minit sahaja itu? Mungkin satu lagi kampung lagi kami balik raya haji nanti, untuk penjimatan kos. Banyak benda nak difikirkan apabila raya menjelang bukan? Salam Aidilfitri untuk Muslimin dan Muslimat di atas muka bumi ini.
“Ya Allah di bulan mulia ini. Semoga semua yang merasakan sempit, diluaskan rezeki mereka termasuklah untuk suamiku Ali.” Kongsi Alia (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di forum luahan hati di atas talian.
Baca juga: “Lima tahun suami sabar dengan mulut jahat aku, akhirnya aku diceraikan di pagi raya”