“Dulu lawan kerajaan terus kena ISA” – Mat Sabu imbau pengalaman dibuang daerah

Oleh MALAYSIADATELINE

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengimbau kembali detik sukar yang pernah dilaluinya ketika menjalani tahanan daerah di FELDA Kepis, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, lebih empat dekad lalu.

Menerusi hantaran di Facebook, Mohamad atau lebih mesra disapa Bang Mat berkata, kunjungannya ke FELDA Kepis pada petang tadi mengembalikan pelbagai kenangan ketika beliau dibuang daerah selama dua tahun, dari September 1984 hingga September 1986.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, beliau diwajibkan berada di rumah sebelum jam 6 petang setiap hari sebagai syarat tahanan daerah.

“Dulu lawan kerajaan kena terus ISA. La ni fitnah kerajaan dalam ceramah dan media sosial pun tak kena apa. Paling kuat kena denda,” katanya.

Mohamad berkata, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh demi meneruskan kehidupan ketika itu, termasuk mengambil pelbagai pekerjaan halal bagi mencari rezeki.

Beliau berkata, antaranya ialah mengambil upah menebas, membanting padi ketika musim menuai serta bekerja memotong ayam di Pasar Kuala Pilah.

“Orang lain buat kerja menebas dua hari dah siap. Bang Mat dengan kawan-kawan buat sampai dua minggu pun tak siap.

“Bila musim potong padi, Bang Mat ambil upah banting padi. Masa lain, Bang Mat kerja potong ayam di Pasar Kuala Pilah. Apa saja kerja halal, kita buat untuk terus hidup,” katanya.

Mengimbau pengalaman awal menetap di Kuala Pilah, Mohamad berkata beliau pernah menyewa rumah milik seorang jururawat.

Namun diminta berpindah selepas hanya sebulan kerana terlalu ramai penyokong datang menziarah sehingga merosakkan kawasan laman rumah.

Beliau kemudian berpindah ke rumah seorang individu dikenali sebagai Nordin Jahat, namun terpaksa berpindah sekali lagi kerana berdepan masalah bekalan air.

Dalam pada itu, Mohamad turut berkongsi pengalaman ketika menyertai perhimpunan Bersih 2 yang menyaksikan beliau dilanggar kenderaan polis sehingga mengalami patah kaki.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pengalaman tersebut tidak pernah membuatkannya menyimpan dendam terhadap anggota keselamatan.

“Petugas keselamatan hanya jalankan tugas. Hari ini mungkin mereka tidak suka kita, tetapi esok mungkin mereka akan sokong kita,” katanya.

Menurut Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, beliau juga masih mengekalkan hubungan baik dengan rakan-rakan dalam parti lamanya walaupun mempunyai perbezaan pandangan politik.

Katanya, perjuangan politik sememangnya penuh dengan cabaran, penghinaan dan ujian, namun setiap kesukaran pasti disusuli hikmah.

“Yang penting, jangan berhenti berjuang dan jangan sekali-kali menyimpan dendam,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa sepanjang berada di FELDA Kepis, sebanyak enam cawangan PAS berjaya ditubuhkan hasil usaha bersama rakan-rakan seperjuangan.

Baca juga: Kerajaan Madani komited laksana 7 inisiatif Felda, rumah Generasi kedua diutamakan