‘Dulu Pas miskin perlukan wang, orang kampung yang isi duit di tin milo’

Oleh KIM SYAZIE

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mengingatkan semula pada Pas siapa yang banyak membantu parti itu ketika mereka sedang miskin dan memerlukan bantuan dengan mengisi wang di tin-tin Milo.

Beliau berkata, rakyat miskin di kampunglah yang mengisi tin-tin tersebut dengan ada antara mereka yang seikhlas hati memberi cincin dan gelang, namun hari ini diperlekehkan hanya kerana mengangkat bendera putih untuk meminta bantuan wang dan makanan.

“Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh berkata tidak perlu gantung bendera putih, memadai untuk berdoa sahaja.

“Kalau begitu mengapa Pas perlu hulur tin Milo puluhan tahun lamanya untuk derma dan tidak berdoa sahaja selama ini?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul berkata, Pas ibarat lupa daratan dan hanyut di laut kekuasaan setelah naik menjadi kerajaan.

Senator Dewan Negara itu turut membangkitkan sikap Pas dahulu yang akan mengherdik mana-mana pihak sebagai penderhaka sekiranya menyentuh tentang institusi Diraja dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Baginya, Pas kini amat berbeza kerana bukan sahaja telah menderhaka tetapi menunjukkan sikap biadab berterusan apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan seperti berlakon tidak faham terhadap titah untuk Parlimen dan Dun bersidang ‘secepat mungkin’.

Katanya, Raja-Raja Melayu yang satu ketika dahulu menyelamatkan nama dan identiti Pas sebagai sebuah parti Islam, diderhakai dengan penuh biadab.

Beliau merujuk kepada konflik pada 1980 yang ketika itu menurutnya, nama Pas telah diselamatkan dan dilindungi Raja-Raja Melayu apabila Barisan Nasional meminta nama Islam diharamkan kegunaannya oleh mana-mana parti politik.

“Mungkin pemimpin Pas pura pura lupa perkara ini kerana setelah menjadi kerajaan telah lupa daratan dan tidak lagi tahu mengenang budi atau sekurang kurangnya tunjuk sedikit hormat sebagai kerajaan Melayu Islam.

“Di mana Melayunya kalau tidak langsung menunjukkan sedikit hormat atau segan silu kepada Raja-Raja Melayu sendiri, tetapi pada masa yang sama menyuruh bangsa lain menghormati instituisi Raja,” ujarnya.