Durian Tupai King digelar durian bangsawan baru, harganya kalah ‘Black Thorn’

Oleh KIM SYAZIE

Durian jenis Tupai King kini digelar durian bangsawan mengalahkan raja buah lain yang paling dicari-cari seperti Musang King dan Duri Hitam atau ‘Black Thorn.’

Durian yang lahir dari Pulau Pinang ini semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat raja buah
kerana kualiti premium, rasa luar biasa dan aroma yang unik.

Menurut Bernama, harga sekilogram Tupai King boleh mencecah sehingga RM130, sekali gus menjadikannya durian tempatan termahal ketika ini.

Pengusaha kebun durian Eric Yeap berkata, durian Tupai King dengan kulit berwarna hijau keperangan mempunyai ciri-ciri buah berbentuk bujur seperti telur dengan pangkal membulat dan hujung menajam.

Durian Tupai King telah ada sejak lima atau enam tahun lepas, namun mula dikenali dan dicari peminat raja buah sejak dua tahun kebelakangan ini kerana isinya berwarna jingga kekuningan dengan aroma, kepahitan, tekstur dan berkrim pada tahap sederhana.

“Bukan sahaja menarik minat penggemar tempatan tetapi pembeli dari luar negara seperti Singapura dan China. Apabila mereka tahu musim durian sudah bermula, ada yang menghubungi saya bertanya mengenai durian Tupai King,” katanya memetik laporan Bernama.

Yeap, bagaimanapun, berkata, pengeluaran bagi durian Tupai King masih rendah berikutan kebanyakan pengusaha raja buah itu baru menanamnya termasuk beliau sendiri yang bermula sejak lima tahun lepas, dan memperoleh hasil tiga tahun kemudian.

Baca juga: Teruk dikritik, Kieda panggil pelanggan, pulangkan semula duit