Penyanyi, Eda Ezrin yang popular dengan lagu dikir barat Kelantan iaitu Bea Sobar Bea dibebaskan sepenuhnya hari ini selepas lebih sembilan bulan ditahan di Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand.
Hakim Mahkamah Penjara Narathiwat membebaskan penyanyi berusia 30 tahun terbabit bersama suaminya dan empat individu lain pada kira-kira jam 11 pagi (waktu Thailand) tadi.
Keputusan dibuat mahkamah selepas mendapati pihak pendakwa raya Thailand gagal mengemukakan saksi dan bukti untuk merayu kes melibatkan pertuduhan memiliki 6,059 biji pil methamphetamine ke atas enam individu itu.
Susulan pembebasan Eda Ezrin, bapanya iaitu Wan Ismail Wan Yusuf menzahirkan rasa syukur selain menyifatkan keputusan tersebut membuktikan bahawa anaknya tidak bersalah, lapor Berita Harian.
Menurut Wan Ismail, doanya sekeluarga akhirnya termakbul apabila anaknya dibebaskan dan akan mengadakan kenduri dan tahlil kesyukuran berdekatan dengan rumah esok.
“Alhamdulillah, saya rasa gembira dan akan mengadakan kenduri serta tahlil kesyukuran di masjid berdekatan rumah malam esok. Bekas isteri iaitu ibu kepada Eda Ezrin akan menyambut kepulangan anak saya di sana,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 6 Mac lalu membebaskan Eda Ezrin dan suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; bersama Zuhaira Nasrin, 26, daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil methamphetamine.
Pihak pendakwaan bagaimanapun membuat rayuan atas keputusan yang dibuat selepas bersidang selama tiga hari bermula 11, 13 dan 14 Februari itu sebelum permohonan pertama dibenarkan mahkamah antara 6 Mac hingga 6 April; kedua (6 April-6 Mei); ketiga (6 Mei-10 Jun); keempat (10 Jun-6 Julai) dan kelima (6 Julai-6 Ogos).
Mahkamah hari ini bagaimanapun menolak permohonan dari pihak pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan untuk kali keenam yang membawa kepada pembebasan penyanyi terbabit.
Baca juga: Lakonan realistik bukan alasan, Shaheizy Sam tolak babak mesra lepas sedar batas