Eda Ezrin trauma nak jejak kaki ke Thailand lagi

Oleh ROSLAN ZAMAN

Penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin akui serik untuk menjejakkan kaki lagi ke Thailand.

Memetik dari laporan Harian Metro, beliau yang baru sahaja dibebaskan dari penjara Thailand pada minggu lepas berkata, tujuannya ke Thailand sebelum ini adalah untuk membuat persembahan sahaja.

“Sebelum ini pun, setiap kali berkunjung ke Thailand terutama Wilayah Narathiwat, saya hanya pergi untuk membuat persembahan sahaja.”

“Saya bukan melancong semata-mata. Jika orang bertanya adakah saya akan pergi ke Thailand selepas apa yang berlaku, sudah tentu saya katakan tidak.”

Tambah Eda, sepanjang berada di penjara baru dia sedar siapa sahabat sejati yang ada bersamanya.

‘Nak cari kawan memang ramai, namun nak mencari sahabat sejati adalah perkara paling susah. Bila kita berada di penjara, baru kita sedar siapa kawan atau siapa sahabat.”

“Bila kita berada di fasa terendah, tiada kawan yang datang melawat. Bermula dari situ, saya belajar biar kawan sedikit, janji berkualiti. Malah, apa yang berlaku sehingga berada di penjara pun disebabkan kawan atas kawan.”, tegasnya seperti dilapor oleh Harian Metro.

Sebelum ini penyanyi dari Kelantan itu berkata, beliau menerima banyak tawaran persembahan dari Kuala Lumpur, Johor dan beberapa negeri lain sejak dibebaskan dari Penjara Narathiwat pada 7 Ogos lalu.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini beliau hanya bersedia menerima tawaran persembahan di Kelantan.

baca: Eda Ezrin buat luahan di media sosial selepas dibebaskan