Dalam tak sedar, semakin banyak kes penipuan melibatkan proses untuk ke Makkah yang dilakukan agensi pengurusan umrah.
Sebelum ini ada kes melibatkan pelawak Shuib dan Mamat Sepahtu yang terkejut apabila agensi umrah yang dipilih didakwa tidak telus.
Kini pelakon Datuk Aaron Aziz juga mengalami masalah sama, lebih menyakitkan dia juga menampung kos pembiayaan 40 orang jemaah agensi pengurusan umrah berkenaan.
Aaron menjelaskan bahawa dia enggan mengambil tindakan undang-undang sebaliknya dia harap agensi tersebut membayar semula kerugian hampir RM90,000 lapor Kosmo! Online.
“Saya tak guna perkataan tipu atau scammer tapi mungkin salah percaturan kerana umrah ini bukan perniagaan macam pakej percutian dan umrah pula melibatkan kos yang besar.
“Bukan ditipu tetapi berlaku kesilapan daripada pihak pengurusan. Jadi saya terpaksa keluarkan duit sendiri sebanyak RM90,000 untuk bayar dahulu kos pembiayaan jemaah yang terlibat yang kebanyakannya golongan berusia.
“Jadi kalau saya tak belikan tiket dulu mereka takkan akan dapat pergi umrah.” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Dalam pada itu, Aaron kongsi agensi umrah berkenaan sedang dalam proses membayar semula wang pendahuluan sebanyak RM90,000 yang dikeluarkannya sebelum ini.
“Kejadian itu berlaku sebulan sebelum saya tanda tangan kontrak, nasib baik tak terjebak lebih. Kini, mereka sedang buat proses pemulangan duit sedikit demi sedikit.
“Kalau ambil tindakan, syarikat itu akan tutup dan tak akan dapat duit saya kembali. Malah, ramai pekerja tak bersalah akan hilang mata pencarian tapi tindakan sebegini pun tetap perlu diambil.
“Saya dengan syarikat itu sudah lama bekerjasama, lebih lapan tahun memang tiada masalah cuma kali ini saja.
“Sejak perkara itu memang saya tamatkan kerjasama, anggap kami sudah tiada jodoh lagi,” kongsinya.
Baca juga: Kutipan empat hari Blood Brothers dah berjaya kalahkan kutipan Mat Kilau